Sabtu, 23 Januari 2010

klate lawe johor fc

kesebelasan utama: Moh Halim Napi, azizi, subra, shakir, sharul idlan, Farhan, daudsu, Badri Radzi, Hairudin, Indra Putra, Zairul Fitree..

Jumaat, 22 Januari 2010

Sekolah pondok tertua terbakar


KEADAAN tiga blok Sekolah Pondok Lubuk Tapah yang terbakar di Pasir Mas, Kelantan semalam.


PASIR MAS - "Masa itu saya baru masuk tidur, tiba-tiba saya dengar bunyi kecoh di luar rumah.
"Saya keluar dan nampak api sudah mula membakar bangunan sekolah pondok."

Demikian kata seorang saksi Hanipa Zakaria, 59, mengenai tiga blok Sekolah Pondok Lubuk Tapah di sini yang terbakar pada pukul 1.45 pagi semalam.


KANAK-KANAK tahfiz melihat kitab-kitab dan al-Quran yang dapat diselamatkan selepas Pondok Lubuk Tapah terbakar.


Rumah banglo Hanipa turut terbakar 70 peratus akibat dijilat api yang bermula di sekolah itu.

Cerita Hanipa, bangunan sekolah itu terletak bersebelahan dengan rumahnya.


GAMBAR salah sebuah blok Sekolah Pondok Lubuk Tapah sebelum musnah terbakar semalam.


"Saya belum lelap kerana baru masuk ke bilik selepas anak tiba dari Terengganu pukul 1.30 pagi," kata Hanipa di sini semalam.

Melihat api semakin marak, Hanipa mengalihkan dua buah kereta miliknya sebelum mengejutkan empat orang anaknya yang sedang tidur.

"Nasib baik banyak benda dapat diselamatkan namun akibat kejadian itu juga, saya mengalami kerugian dianggarkan lebih RM100,000," katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Adnan Said berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 1.55 pagi dan tiba di tempat kejadian lima minit kemudian bersama empat jentera dan 19 anggota bomba.



KLATE LAWE KEDAH ( GAME 4 )

Mengecewakan. Itulah aksi yang dipertontonkan Kelantan apabila kecundang 0-1 kepada Kedah dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu, malam tadi.

Kedah yang bertandang ke gelanggang lawan pulang seharusnya pulang gembira setelah berjaya menundukkan Sang Kijang di hadapan 25 000 penyokong.

Perlawanan dimulakan dengan Kedah mengatur serangan awal menguji barisan pertahanan Kelantan melalui percubaan Badrol Bakhtiar yang mendapat hantaran cantik dari sebelah kanan tetapi bola sepakan volley tersebut melwati palang gol.

Kedah sekali lagi hampir membolosi gawang Kijang menerusi Azlan Ismail yang mendapat hantaran Mohd Faizal Abu Bakar namun bekas penyerang kebangsaan tersebut memilih untuk menyepak lemah ke dakapan Syed Adney.

Pada minit ke-22, Kelantan mendapat peluang pertama setelah S. Chanturu berjaya melarikan bola dari sebelah kiri pintu gol sebelum melintangkan kepada Akmal Rizal tetapi tandukannya ditangkap kemas penjaga gol Kedah, Helmi Eliza Elias.

Selang empat minit kemudian, Hairudin pula mensia-siakan hantaran Indra apabila menanduk tinggi melepasi palang gol walaupun berseorangan dihadapan gawang lawan.

Tertekan diasak tuan rumah, Kedah melakukan beberapa serangan balas mencari bekalan awal melalui gerakan Zamri Chin dan Shahrulnizam Mustapha namun digagalkan dengan kekentalan pertahanan tuan rumah.

Untuk memperkasakan posisi serangan, Kedah melakukan pertukaran pertama mengeluarkan Faizal Abu Bakar mengantikan dengan Saramsak Kram pada minit ke-37.

Kelantan hampir memecahkan kebuntuan melalui sepakan percuma Badri Radzi tetapi hantaran lintang kepada Hairudin gagal disambar kemas sebelum bola bergolek keluar dari kawasan gol.

Tanpa disangka-sangka, Kedah mendapat gol pertama setelah Syed Adney yang mendapat bola tolakan dari Daudsu Jamaludin memilih untuk melakukan kesilapan paling besar dalam karier bola sepaknya apabila menendang lemah terkena kaki Azlan Ismail sebelum tergolek mencecah jaring membolehkan Kedah mendahului pada minit ke-40.

Gol tersebut menyentak semangat pemain dan juga penyokong tuan rumah menyebabkan Kedah mulai selesa mengatur beberapa serangan ke pintu gol Kelantan.

Pada minit ke-44, Kelantan dikurniakan satu sepakan percuma berjarak 30 meter dari pintu gol dan Indra yang mengambil sepakan menyepak kencang melepasi benteng Kedah tetapi bola tersebut menggegar palang mengecewakan ribuan penyokong yang bertandang.

Bersambung babak kedua, Kelantan melakukan sedikit perubahan taktikal tetapi gagal untuk memecahkan benteng Kedah yang diketuai Fazliata Taib dan Shafizan Hashim.

Beberapa peluang untuk menjaringkan gol disia-siakan pemain penyerang.

Peluang pertama hadir melalui hantaran Shakir kepada Akmal dan percubaan pemain ini meliar jauh dari pintu gol.

Tidak lama kemudian, Badri Radzi pula lambat melakukan tolakan walaupun ketika itu hanya dua orang pemain pertahanan Kedah berada di kawasan mereka.

Selang dua minit kemudian, Kelantan dinafikan satu sepakan percuma oleh pengadil bertugas apabila Badri Radzi dikasari Fazliata taib di luar kotak penalti menyebabkan penyokong Kelantan mulai melakukan beberapa tindakan liar.

Kelantan yang tertekan mencari gol penyamaan mengeluarkan Akmal Rizal dan Hairudin Omar mengantikan mereka dengan Zamri Ramli dan Che Hishamudin Hassan.

Kemasukan dua pemain ini merubah tempo permainan dimana Kelantan mulai mengasak mencari satu gol tetapi gagal menemui penyudah yang diharapkan.

Malah Indra yang keseorangan didalam kotak penalti menanduk keluar bola hantaran cantik Zamri Ramli pada minit ke-67.

Keghairahan Kelantan memburu gol memberi ruang buat Kedah menambah gol pada minit ke-71 tetapi percubaan Azlan Ismail hasil hantaran Badrol Bakhtiar berjaya dikeluarkan Azizi yang melakukan aksi mengelongsor menyelamatkan bola diatas garisan gol.

Che Hishamudin juga mendapat peluang tetapi lambat menendang bola pada minit ke-73 dan percubaan Badri Radzi lima minit kemudian ditampan keluar Fazliata Taib.

Sathianathan melakukan pertukaran seterusnya mengeluarkan Farisham Ismail dan memasukkan Zairul Fitree Ishak, namun sudah terlambat untuk mengejar pemain Kedah yang selesa berkampung di kawasan sendiri menafikan sebarang cubaan masuk pemain Kelantan.

Diakhir-akhir babak, berlaku beberapa insiden kekasaran memaksa pengadil perlawanan memberi amaran keras kepada beberapa pemain kedua-dua pasukan. Manakala Che Hishamudin pula dilayangkan kad merah setelah menumbuk Sabree Abu.

Tambahan masa juga gagal digunakan Kelantan untuk mencari gol dan wisel akhirnya dibunyikan memberikan tiga mata penuh buat Sang Kenari di Kota Bharu memaksa Kelantan berputih mata buat kali pertama di arena sendiri tahun ini.

Alkisah Seorang Guru

Cikgu Nik Kamal merupakan seorang guru yang cukup terkenal dengan sikap dedikasi dan adil dalam tugas pengajarannya. Bagi beliau, tanggungjawab yang dipikul oleh seorang guru amatlah besar dalam proses pembinaan masyarakat dan negara.

Setiap murid yang diterimanya harus dididik dan dipimpin dengan baik. Bukan itu sahaja, beliau turut menganggap setiap murid yang gagal dididiknya dan keterlanjuran menjadi sampah masyarakat sehingga merugikan negara sebagai satu dosa yang besar. Oleh yang demikian, selain memastikan murid-muridnya memahami apa yang diperlukan untuk lulus ujian dengan cemerlang, beliau juga memberi tumpuan khusus kepada pembinaan akhlak dan rohani agar kesemua muridnya akan menjadi manusia yang berguna dan berbakti kepada masyarakat dan negara dewasa kelak.

Reputasi baik cikgu Nik Kamal sebagai seorang guru cemerlang tidak datang dalam masa sehari dua. Cikgu Nik Kamal tidak pernah dituduh pilih kasih dalam memberikan ganjaran, penandaan kertas ujian mahupun memberikan hukuman. Murid-murid, rakan guru-guru dan ibu bapa sangat menghormatinya kerana kagum dengan kebolehan mengajarnya di samping sikapnya yang adil, saksama dan tegas terhadap murid-muridnya.

Namun segalanya berubah apabila anak sulung beliau, Nik Kamil ditawarkan belajar di sekolah yang sama. Tanpa disedarinya, guru besar sekolahnya telah membuat keputusan untuk meletakkan Nik Kamil di dalam kelas bimbingannya kerana mempercayai beliau dapat bertindak adil terhadap anaknya sebagaimana murid-murid yang lain.

Pada peringkat permulaannya, cikgu Nik Kamal berasa amat gembira dengan berita tersebut. Beliau yakin bahawa di bawah bimbingannya, anaknya akan berpeluang menjadi pelajar paling cemerlang di sekolah penghujung tahun nanti. Sekiranya itu menjadi kenyataan, beliau percaya beliau akan turut dianugerahkan sebagai "guru cemerlang", dan ini sudah tentu akan menjadi kenangan yang amat manis bagi keluarga beliau.

Harapan cikgu Nik Kamal ternyata meleset seminggu selepas sesi persekolahan bermula. Desas-desus sudah mula kedengaran daripada murid-murid di dalam kelas bimbingannya bahawa beliau sentiasa memberikan tumpuan yang lebih terhadap anaknya semasa mengajar di dalam kelas. Murid-murid mula mengadu kepada guru-guru subjek yang lain bahawa mereka merasa seperti dianak-tirikan oleh cikgu Nik Kamal. Setahu Nik Kamal, beliau melayan semua muridnya dengan sama, namun ada ketikanya beliau mengakui beliau menjawab soalan-soalan yang diajukan anaknya dengan lebih mesra berbanding murid yang lain secara tidak sedar. Maklumlah, Nik Kamil itu anaknya, sudah tentulah cara percakapan antara mereka lebih mesra, takkan itu pun nak didengkikan, bisiknya di hati. Beliau memilih untuk bersabar dan menganggap semua ini hanya permainan fitnah budak-budak semata-mata.

Nik Kamil ialah seorang murid yang bijak dan pandai, bak kata pepatah bapa borek anak rintik. Semua kerja sekolahnya dihabiskan dengan baik dan cermat. Rakan-rakan guru Nik Kamal turut sama memuji ketekunan dan kebijaksanaan anak sulungnya itu. Oleh sebab itu, kekadang anaknya melakukan kesalahan-kesalahan kecil, rakan-rakan gurunya tidak menghukum seperti mana hukuman setimpal yang dialami murid-murid yang lain. Ini secara tidak langsung menimbulkan lagi tahap cemburu murid-murid lain terhadap anaknya yang disangka mereka kebal daripada tindakan disiplin kerana dia merupakan anak kepada seorang guru yang terhormat.

Fitnah terhadap anak sulung Nik Kamal bukan setahap itu sahaja. Setiap kali anaknya mendapat markah tertinggi di dalam peperiksaan, rakan-rakan murid anaknya akan menuduh bahawa cikgu Nik Kamal telah memberikan soalan bocor kepada anaknya terlebih awal. Ada juga sebilangan ibu bapa murid-murid yang tewas tipis dalam keputusan ujian kepada anaknya turut mengadu perkara yang sama kepada guru besar akibat termakan fitnah anak-anak mereka tak berasas.

Sesekali cikgu Nik Kamal cuba menjelaskan perkara ini bahawa keputusan cemerlang anaknya adalah hasil usahanya sendiri dan bukannya kerana mendapat soalan bocor seperti yang difitnah, namun beliau gagal mengikis tanggapan bahawa beliau pilih kasih dalam mempertahankan keputusan cemerlang anaknya. Fitnah yang semakin menjadi-jadi ini juga menyebabkan kewibawaan dan akhlak Nik Kamal turut mula dipertikaikan oleh rakan-rakan guru sekolahnya. Walaupun guru besar masih mempercayainya, akan tetapi imejnya sebagai guru yang cemerlang semakin terhakis di kalangan ibu bapa murid-murid dan rakan-rakan guru sekolahnya itu.

Cikgu Nik Kamal berasa teramat sedih dengan peristiwa yang berlaku. Kegembiraan dan kebahagiaan keluarganya juga terjejas kerana emosi beliau semakin terganggu dan anaknya sering kemurungan akibat fitnah-fitnah dengki yang berlaku di sekolah. Keputusan cemerlang anaknya tidak lagi menjadi peristiwa yang menggembirakan untuk keluarga cikgu Nik Kamal sebaliknya menjadi perkara yang mendatangkan fitnah semata-mata.

Disebabkan marah dan tidak puas hati dengan situasi yang berlaku, Nik Kamil mula bermain politik di sekolah dengan memanipulasi kepercayaan sebilangan guru yang menyayanginya untuk sengaja menyusahkan rakan-rakan yang dipercayai memfitnah dia dan bapanya sebagai tindakan membalas dendam. Tindak-balas ini menyebabkan Nik Kamil semakin diboikot oleh rakan-rakan sekolahnya. Sejak itu, segala tindak-tanduk Nik Kamil mula diperhatikan secara ketat oleh rakan-rakan yang ditikamnya. Segala kesilapan dan keterlanjuran kata-kata oleh anaknya akan dijadikan bukti untuk diadukan kepada rakan-rakan guru yang tidak sehaluan dengan bapanya bagi tujuan memalukan bapanya di hadapan guru besar. Nik Kamil tidak menyedari bahawa tindak-tanduknya menambahkan lagi tekanan kerja dan politik sekolah terhadap bapanya sendiri.

Akibat desas-desus yang semakin liar, akhirnya, cikgu Nik Kamal dipanggil guru besar untuk berjumpa dengannya untuk menyelesaikan kemelut politik yang sering mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Cikgu Nik Kamal terkejut apabila guru besar berkata beliau sendiri memikul tanggungjawab yang besar dalam kemelut ini kerana kegagalannya dalam memahami hati manusia.

Menurut guru besarnya lagi, lazimnya beliau tidak akan mengizinkan anak-anak guru di sekolahnya untuk belajar di sekolah yang sama kerana ia senang menimbulkan fitnah yang boleh mengganggu ketenteraman sekolah. Akan tetapi, kali ini beliau mengizinkannya kerana beliau beranggapan bahawa dengan reputasi cikgu Nik Kamal yang baik sepatutnya masalah fitnah ini tidak akan timbul.

Namun, beliau akhirnya akur bahawa sesiapa sahaja, tidak kiralah sebelum ini beliau dilihat sebersih manapun, tidak mungkin akan dapat lari daripada fitnah kerana sifat dengki dan cemburu manusia senantiasa wujud pada satu-satu masa. Sifat cemburu dan dengki ini mudah menimbulkan fitnah sekiranya kita membuka pintu yang menggalakan fitnah apabila urusan keluarga mula dicampur-adukkan bersama urusan kerja seseorang.

"Adalah susah untuk orang lain melihat kita bertindak adil sekiranya sesuatu perkara atau keputusan itu melibatkan ahli keluarga sendiri walaupun sememangnya kita boleh bertepuk dada tanya selera bahawa kita telah bertindak adil. Di sinilah kelemahan insan yang bernama manusia ini dan inilah yang harus kita elakkan untuk menghindari fitnah yang mungkin datang," kata guru besar kepada cikgu Nik Kamal.

Tambah beliau lagi, "Kemelut yang timbul di sekolah kali ini adalah akibat kecemburuan dan kedengkian murid-murid lain terhadap anak cikgu, Nik Kamil. Perkara ini tidak akan timbul sekiranya Nik Kamil tidak berada di sekolah yang sama dengan cikgu."

Kata-kata guru besar bagaikan satu wake-up call buat cikgu Nik Kamal. Demi kebaikan anak, kegembiraan keluarga, kerjaya dan sekolah, cikgu Nik Kamal mengambil keputusan untuk menukarkan anaknya ke sekolah lain secepat yang mungkin........

Dan seperti yang dijangkakan oleh guru besar, keadaan di sekolah pulih seperti sediakala dalam masa sebulan dua... tiada lagi fitnah yang melulu, tiada lagi perbalahan yang remeh-temeh, tiada lagi pertikaian terhadap kredibiliti beliau sebagai guru yang adil dan saksama; dan yang paling menggembirakan, akhirnya keluarga cikgu Nik Kamal boleh berbangga dengan pencapaian cemerlang Nik Kamil yang akan datang kerana tiada lagi orang yang memperlekehkan keputusan cemerlang anaknya lagi...

Khamis, 21 Januari 2010

CALON PR KLATE 2008


 SERAMAI 17 muka baru akan bertanding bagi DUN di Kelantan dalam pilihanraya umum ke 12 yang akan datang.

Senarai nama calon secara rasminya telah di umumkan oleh Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Bin Nik Mat di kediaman rasmi Menteri Besar JKR 10 pada hari ini.

Dalam pengumuman tersebut bagi kawasan Dewan Undangan Negeri sebanyak 45 kerusi, PAS akan bertanding di 40 buah kerusi manakala PKR akan bertanding di 5 buah kerusi.

Bagi kerusi Parlimen pula sebanyak 14 kerusi diperuntukkan. PAS akan bertanding di 10 buah kerusi, PKR 3 dan Bebas 1 kerusi, yang mana kerusi Bebas akan di duduki oleh Dato' Haji Ibrahim Ali yang akan bertanding atas logo PAS.


Untuk 45 buah kerusi DUN sebanyak 17 muka baru bagi kerusi PAS, manakala 14 kerusi Parlimen 7 muka baru bagi kerusi PAS.

5 Adun digugurkan dari 23 yang ada sekarang iaitu di N19 Demit, N34 Temangan, N35 Kemuning, N24 Kadok dan N17 Salor.

Manakala 2 kerusi Parlimen masih ditangguhkan pengumunan calon iaitu P30 Jeli dan P32 Gua Musang. Nama-nama calon akan di maklumkan sebelum hari penamaan calon nanti.

Dato Nik Abdul Aziz, akan mempertahankan kerusi yang di menangi pada pilihanraya yang lepas iaitu di N6 Cempaka.

Dalam majlis tersebut calon-calon dari PKR belum di senaraikan lagi kerana PKR akan mengumumkannya dalam masa yang terdekat.

PAS yakin dapat merampas balik kerusi yang dimenangi oleh BN pada pilihanraya yang lepas kerana calon yang akan bertanding adalah terdiri dari mereka yang berpengalaman dan berpendidikan tinggi.

Beliau juga memberitahu PAS akan memberi sokongan kepada Dato Haji Ibrahim Ali dalam kempen pilihanraya nanti bagi memastikan kerusi Parlimen di Pasir Mas dimenangi oleh calon tersebut.

Beliau juga menyarankan agar rakyat Kelantan mengekalkan pemerintahan secara Islam di Kelantan kerana ini adalah jihad yang dituntut oleh Islam.

BERIKUT merupakan senarai calon Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di Kelantan pada pilihan raya umum ke 12, 8 Mac ini.

Senarai Calon-Calon Kerusi Parlimen:

TUMPAT - Datuk Kamaruddin Jaffar
PENGKALAN CHEPA - Datuk Abd. Halim Abd. Rahman
KOTA BHARU - Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah (kawasan ini dimenangi BN pada 2004)
PASIR MAS - Datuk Ibrahim Ali (calon bebas menggunakan logo Pas, kawasan ini dimenangi Pas pada 2004)
RANTAU PANJANG - Siti Zailah Mohd. Yusoff (muka baru) (menggantikan Abdul Fatah Harun (Pas) yang bertukar ke DUN Bukit Tuku)
KUBANG KERIAN - Salahuddin Ayub
BACHOK - Nasharudin Mat Isa (kawasan ini dimenangi BN pada 2004)
KETEREH - Calon daripada PKR (kawasan ini dimenangi BN pada 2004)
TANAH MERAH - Calon daripada PKR (kawasan ini dimenangi BN pada 2004)
PASIR PUTEH - Muhammad Hussin (kawasan ini dimenangi BN pada 2004)
MACHANG - Saifuddin Nasution Ismail (PKR) - (kawasan ini dimenangi BN pada 2004)
JELI - Calon daripada Pas (kawasan ini dimenangi BN pada 2004)
KUALA KRAI - Dr. Mohd. Hatta Md. Ramli (kawasan ini dimenangi BN pada 2004)
GUA MUSANG - Calon daripada PKR (kawasan ini dimenangi BN pada 2004)

Senarai Calon-Calon Dewan Undangan Negeri (Dun):

PENGKALAN KUBOR - Calon daripada PKR (kawasan ini dimenangi BN pada 2004)
KELABORAN - Mohd. Zaki Ibrahim
PASIR PEKAN - Datuk Ahmad Yaacob
WAKAF BHARU - Che Abdullah Mat Nawi (baru) (kawasan ini dimenangi BN pada 2004)
KIJANG - Wan Ubaidah Omar (baru - calon wanita) (menggantikan Husam Musa yang berpindah Ke DUN Salor)
CHEMPAKA - Nik Abdul Aziz Nik Mat
PANCHOR - Mohd. Amar Abdullah
TANJONG MAS - Rohani Ibrahim
KOTA LAMA - Datuk Anuar Tan Abdullah
BUNUT PAYONG - Datuk Takiyuddin Hassan
TENDONG - Dr. Mohamad Md. Daud (baru)(kawasan ini dimenangi BN pada 2004)
PENGKALAN PASIR - Hanifa Ahmad(kawasan ini dimenangi BN pada pilihan raya kecil 2005)
CHETOK - Abdul Halim Abdul Rahman
MERANTI - Nassuruddin Daud
GUAL PERIOK - Mohamad Awang (baru)(kawasan ini dimenangi BN pada 2004)
BUKIT TUKU - Abdul Fatah Harun (bertukar dari Parlimen Rantau Panjang)(kawasan ini dimenangi BN pada 2004)
SALOR - Datuk Husam Musa (berpindah dari DUN Kijang)
PASIR TUMBOH - Ahmad Baihaki Atiqullah
DEMIT - Muhamad Mustafa(menggantikan Mohamad Daud yang digugurkan)
TAWANG - Hassan Mohamood
PERUPOK - Datuk Omar Mohamad
JELAWAT - Abdul Aziz Abdul Kadir (baru) (kawasan ini dimenangi BN pada 2004)
MELOR - Wan Ismail Wan Jusoh (kawasan ini dimenangi BN pada 2004)
KADOK - Azami Mohd. Noor (baru) (menggantikan Shamsudin @ Mohamed Shukri Ab.Rahman (PAS) yang digugurkan)
KOK LANAS - Datuk Ahmad Rosli Ibrahim (kawasan ini dimenangi BN pada 2004)
BUKIT PANAU - Abdul Fattah Mahmood
GUAL IPOH - Wan Yusoff Wan Mustafa (kawasan ini dimenangi BN pada 2004)
KEMAHANG - Md. Anizam Abdul Rahman
SELISING - Drs. Saiful Bahrin Mohamad (kawasan ini dimenangi BN pada 2004)
LIMBONGAN - Drs. Zainuddin Awang Hamat
SEMERAK - Wan Hassan Wan Ibrahim (baru) (kawasan ini dimenangi BN pada 2004)
GAAL - Dr. Nik Mazian Nik Mohamad
PULAI CHONDONG - Zulkifli Mamat
TEMANGAN - Dr. Mohd. Fadzli Datuk Hassan (baru) (menggantikan Hassan Muhamad (PAS) yang digugurkan)
KEMUNING - Wan Ahmad Lutfi Wan Sulaiman (baru) (menggantikan Zakaria Yaacob (PAS) yang digugurkan)
BUKIT BUNGA - Sufely Abdul Razak (kawasan ini dimenangi BN pada 2004)
AIR PANAS - Abdullah Ya'kub (kawasan ini dimenangi BN pada 2004)
KUALA BALAH - Calon daripada PKR (kawasan ini dimenangi BN pada 2004)
MENGKEBANG - Abdul Latiff Abdul Rahman (kawasan ini dimenangi BN pada 2004)
GUCHIL - Calon daripada PKR (kawasan ini dimenangi BN pada 2004)
MANEK URAI - Ismail Yaacob (kawasan ini dimenangi BN pada 2004)
DABONG - Arifabillah @ Mohd. Asri Ibrahim (kawasan ini dimenangi BN pada 2004)
NENGGIRI - Calon daripada PKR (kawasan ini dimenangi BN pada 2004)
PALOH - Calon daripada PKR (kawasan ini dimenangi BN pada 2004)
GALAS - Che Hashim Sulaima (kawasan ini dimenangi BN pada 2004)

Rabu, 20 Januari 2010

NOSTALGIA 1993

Pengurus: Zaid Ibrahim
Jurulatih: M.Karathu
Pengurusan: Ringgit Kreatif
Penaja: le coq sportifi
Ketua pasukan: Hashim Mustapha
Pencapaian: Separuh Akhir Piala Malaysia 1993

Pemain-pemain:
1.Syarifuddin Harun
2. Aziz Mustapha
3. Dimitri Kalkanov
4. Zulkifli Abdullah
5. Zahasmi Ismai
6. Riduan Rafar
7. S.Silvarajoo
8. Marko Kraljevic
9. Zami Md Noor
10. Hashim Mustapha
12.Zaidi Napiah
13. Tn Kamree Tn Yahya
15. Rojani Husein
16. Murhim Abdullah
17. Michael Roki
19. Rosli Ismail
20. Salim Mahmood
21. Shukri Ghazali
22. Wan Kamaruzzamanl


_________________
GOMO KELATE GOMO

Jumaat, 15 Januari 2010

KELATE LAWE JOHOR 13.01.10

Perlawanan kedua Liga Super 2010 menemukan Kelantan melawan Johor berkesudahan dengan tuan rumah membenam lawan dengan jaringan 3-0 di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu, malam tadi.

Johor melakukan sepak mula melancarkan serangan awal tetapi berjaya disekat pertahanan Kelantan, Azizi Mat Rose yang bergandingan dengan Subra untuk mengekang asakan lawan.

Kelantan melakukan serangan balas selepas itu dengan Indra mendapat hantaran dari Shakir Shaari sebelum melakukan lambungan ke pintu gol Johor tetapi sempat ditepis Mohd Amrol untuk memberikan sepakan sudut kepada Kelantan.
Berpunca dari sepakan sudut Badri Radzi kepada Indra Putra yang terus merembat kencang ditampan pertahanan sebelum dikuis masuk Akmal Rizal yang keseorangan di depan pintu gol Johor memberikan Sang Kijang gol pertama pada minit ke-3.

Kelantan dikurniakan sepakan percuma 25 meter dari gol Johor setelah Hairudin dijatuhkan dan Indra yang mengambil sepakan tersebut menyepak terus ke dakapan Mohd Amrol.

Lima minit kemudian, Badri Radzi yang mendapat hantaran Chanturu melakukan lintangan cantik tetapi pertahanan Johor lebih bersedia mengeluarkan bola dari kotak penalti.

Johor melancarkan serangan melalui L. Rajeh hasil kesilapan Farisham tetapi Farisham menebus kembali kesilapan itu dengan melakukan terjahan dan merampas bola sebelum melakukan sepakan keluar dari kawasan bahaya.

Johor sekali lagi mengancam apabila sepakan penjuru Faizol Hussien melencong memasuki pintu gol mujurlah Adney lebih bersedia untuk menepis bola pada minit-40

Kelantan dinafikan sepakan penalti di minit akhir babak pertama setelah Akmal Rizal dijatuhkan penjaga gol Johor tetapi pengadil bertugas, Mohd Yusof Karim.menafikan sepakan tersebut kerana mendakwa Akmal menjatuhkan diri sendiri menyebabkan penyokong Kelantan mula melontar objek dalam kawasan padang.

Bersambung babak kedua, Kelantan melakukan satu pertukaran mengeluarkan S. Chanturu mengantikan penyerang kebangsaan, Nor Sharul Idlan Talaha.

Kemasukan Idlan memberi impak dalam corak serangan Kelantan apabila pemain ini melakukan beberapa hantaran cantik sebelum melakukan satu percubaan.

Dua minit kemudian, Badri Radzi berjaya melepaskan sepakan volley dari luar kotak penalti menerjah jaring gagal dijangkau Mohd Amrol untuk gol kedua Kelantan pada minit ke-50.

Minitke-55, Hairudin melepaskan peluang terbaik apabila menanduk liar hantaran lintang Badri Radzi walaupun berkedudukan baik tidak dicabar pertahanan Johor.

Indra Putra menjadi pemusnah sekali lagi apabila menjaringkan gol ketiga pada minit ke-56 setelah menyambung bola tampanan Mohd Amrol dari percubaan awal Badri Radzi.

Kelantan semakin bernafsu memburu gol, kali ini melalui Indra yang mendapat peluang hantaran pendek Hairudin tetapi sepakan kapten pasukan tersasar walaupun berdepan penjaga gol.

Sathianathan yang mungkin selesa mendahului lawan dengan tiga jaringan membuat percaturan mengeluarkan Azizi Mat Rose dan Shakir Shaari mengantikan mereka dengan Rizal Fahmi Rosid dan Khairan Eroza Razali.

Idlan Talaha mendapat peluang terbaik menjaringkan gol pertama untuk Kelantan namun kuisannya hasil hantaran Akmal Rizal berjaya diselamatkan pertahanan Johor diatas garisan gol.

Johor juga hampir menjaringkan gol tetapi sepakan Rosaiful Nizam tinggi meliar tidak memberi ancaman kepada Syed Adney di gawang Kelantan pada minit ke-86.

Kelantan hamper menanmbah gol melalui Indra namun percubaan Indra pada minit ke-89 diselamatkan Mohd Amrol.

Tambahan masa tiga minit Kelantan mendapat satu sepakan sudut namun tidak memberi sebarang hasil sebelum wisel dibunyikan pengadil bertugas memberikan tiga mata sulung buat Red Warriors.

Kelantan: Syed Adney, Daudsu, Azizi (Rizal), Subra, Farisham, Indra, Shakir (Khairan), Piya, Chanturu (Idlan), Hairuidin dan Akmal Rizal.

Johor: Amrol, Shaharudin, N. Dhurai, Rezuan Radzy, Azmi Sarmin, Irfan Ghani, Faizol Hussain, Radzi Jasman, Mohd Shaufiq, Fahian Roslan dan L. Rajesh.


Pengadil: Yusof Mat Karim

Pen Pengadil 1: Wan Abdul Muhaimi

Pen Pengadil 2: Naimulddin Haron

Pegawai ke-4: Ku Alaudin Ku Mohd


Gol: Kelantan 3-0 Johor

Meneroka Gua Niah


GUA-GUA di Taman Negara Niah pernah didiami oleh manusia zaman batu lebih 40,000 tahun lalu.


SEJAK perkhidmatan penerbangan AirAsia dari Singapura ke Miri, Sarawak diperkenalkan September lalu, bekas bandar minyak di bumi Kenyalang itu mula mendapat perhatian pelancong dari kota Singa.

Sebelum ini, pelawat dari pulau Temasek biasanya akan ke negeri-negeri di Semenanjung seperti Johor, Melaka, Pahang, Selangor dan Kuala Lumpur untuk bercuti atau menikmati keindahan alam semula jadi.

Walaupun Sarawak hanya dipisahkan oleh Laut China Selatan atau sejam penerbangan dari Changi ke Kuching, bumi Kenyalang itu belum begitu dikenali dalam kalangan warga Singapura.

Sebelum AirAsia memperkenalkan laluannya ke Miri, memang terdapat penerbangan dari Singapura ke Kuching melalui penerbangan syarikat lain tetapi ia tidak menawarkan tambang murah dan jadual penerbangan yang kerap.

Sebagai sebuah negeri yang besar, kurang kemudahan pengangkutan dan penginapan, para pelancong dari Singapura hanya berpeluang berkunjung ke Kuching dan kawasan berhampiran seperti Santubong, Bau, Kota Samarahan, Lundu, Serian dan Tebedu.

Tentunya lawatan mereka terhad di sekitar Kampung Budaya Sarawak di Santubong, Taman Hidupan Liar Matang dan Semenggoh, Taman negara Bako dan Batang Ai serta Tanah Tinggi Borneo, Tasik Biru, dan rumah panjang Iban dan Bidayuh yang berdekatan.


GUA Besar dan rumah peninggalan kurator Muzium Sarawak Tom Harrison yang diteroka sejak 1957.


Pelancong yang hanya bertumpu di Kuching mungkin tidak dapat menikmati tarikan sebenar Sarawak yang cukup terkenal dengan hutan rimba, bukit-bukau, gunung-ganang dan sungai-sungai yang menjadi nadi pengangkutan negeri itu.

Sehubungan itu, Lembaga Pelancongan Sarawak (LPS) mengambil langkah proaktif menerusi pelbagai pameran pelancongan di Singapura anjuran National Association of Travel Agents Singapore dan Pelancongan Malaysia.

Letitia Samuel dari LPS berkata, Miri menawarkan pelbagai tarikan unik dan semula jadi yang masih belum dikenali. Antaranya Gua Niah dan hutan belantara Borneo yang terletak di pinggir bandar raya

Jika sebelum ini ramai pelancong yang terlepas peluang mengunjungi Taman Negara Niah kerana laluan penerbangan, bagi mengatasi masalah itu Miri kini dijadikan transit menukar pesawat.

Bagi menggalakkan lebih ramai pelancong berpeluang mengunjungi Taman Negara Niah, lapangan terbang Miri kini menjadi transit untuk menukar pesawat ke destinasi tersebut.

Gua-gua di Taman Negara Niah pernah didiami oleh manusia zaman batu lebih 40,000 tahun lalu.

Gua-gua itu mula diteroka pada 1957 oleh kurator Muzium Sarawak yang dikenali sebagai Tom Harrison. Harrison mengendalikan ekspedisi arkeologi untuk mengkaji peninggalan sejarah manusia zaman itu.

Di kawasan gua itulah artifak zaman batu dan rangka manusia moden tertua di Asia Tenggara ditemui. Penemuan itu menandakan wujudnya satu peradaban manusia dan menjadikan taman itu sebagai satu pusat arkeologi terpenting di dunia.

Burung walit


Chalet atas air yang terdapat di Borneo Tropical Rainforest Resort.


Terdapat tiga gua utama di Taman Negara Niah iaitu Gua Pedagang, Gua Besar dan Gua Lukisan.

Gua Pedagang mengambil sempena kawasan gua itu yang dijadikan oleh pedagang tempatan untuk berjual-beli sarang burung walit yang dipungut di sekitar gua-gua yang terdapat di Taman Negara Niah.

Pelawat yang ke gua itu masih dapat melihat bekas tapak atau rangka seperti tiang pondok dan kedai tempat pemungut dan penjual sarang burung walit yang dibina lebih lima dekad lalu.

Walaupun kegiatan memungut sarang burung walit tidak serancak seperti pada tahun 50-an hingga lewat 70-an, pelawat yang masuk ke gua itu pada hari ini dapat melihat kegiatan memungut sarang burung walit oleh pemungut-pemungut tempatan.

Lebih mengagumkan ialah pelancong dapat melihat bagaimana pemungut-pemungut itu dengan lampu suluh yang diikat di kepala. Mereka akan memanjat tiang-tiang kayu atau buluh yang disambung dan digantung di siling gua yang tingginya menyamai tujuh atau lapan tingkat bangunan untuk mencari sarang burung walit.

Pemungut-pemungut itu sanggup bertarung nyawa seperti Spiderman kerana nilai harga sarang burung walit yang belum diproses itu mencecah sekitar RM3,000 hingga RM7,500 sekilogram.

Selain tarikan Gua Pedagang, pelancong juga berpeluang melawat Gua lukisan. Terdapat lebih 100 lakaran atau lukisan neolitik dari zaman batu di beberapa bahagian dinding Gua Lukisan.

Lukisan itu terdapat dalam pelbagai saiz dan ukuran serta mempunyai rupa bentuk manusia, perahu, dan lakaran abstrak dan geometri. Ia dipercayai dilukis dengan menggunakan pewarna merah yang diperoleh daripada tumbuhan.

Sementara itu, di Gua Besar terdapat pembentukan lapisan batu-batan gua seperti stalagmit dan stalaktit serta kesan kerja-kerja arkeologi.


POKOK periuk kera antara flora yang paling banyak ditemui di kawasan tanah lembab sekitar Tasik Loagan Bunut, di Miri.


Selain gua, Miri juga menawarkan peluang kepada pelancong yang mahu mendekati diri mereka dengan alam semula jadi seperti kehijauan hutan belantara, melihat binatang liar, memetik buah-buahan dan mandi-manda di air terjun yang jernih dan sejuk airnya.

Seorang pengusaha hotel, Henry Law Ing Hua, 59, membina sebuah pusat peranginan dinamakan Borneo Tropical Rainforest Resort bersebelahan dengan Taman Negara Bukit Lambir.

Terletak 36 kilometer (km) dari Miri atau 30 minit memandu dari Lapangan terbang Miri, pusat peranginan seluas lebih 300 hektar itu dilengkapi 50 bilik tidur dan calet, serta hostel untuk mereka yang datang secara berkumpulan.

Pusat peranginan itu dibuka secara berperingkat sejak 1 Jun 2007 menyediakan pelbagai aktiviti seperti meredah hutan, menaiki bot menyelusuri sungai, melihat ternakan peliharaan dan berjalan di dalam hutan pada waktu malam.

Pusat itu juga dilengkapi kemudahan untuk berkhemah di hutan, memanjat dinding, memancing ikan di dalam kolam dan beriadah seperti bermain badminton, bola keranjang dan futsal.

Terdapat juga dusun buah-buahan seperti buah nangka, cempedak, rambutan, longan dan nanas. Selain itu terdapat mempelam, sukun, durian, jambu, laici dan sebagainya.

Ing Hua yang merupakan pengarah urusan pusat penginapan itu berkata, beliau merancang untuk membuka safari.

Dengan kemudahan yang terdapat Miri, para pelancong dari Singapura yang ingin mengharungi kehidupan alam semula jadi, tidak perlu lagi pergi jauh untuk menikmati peluang itu. - Bernama

Siap dimasak dalam 90 minit




SEBAIK sahaja tamat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), M.D Idris Abd. Rahman, 41, tidak membuang waktu lapangnya begitu saja.

Pada usia 17 tahun, Idris sudah tahu mencari sumber rezekinya sendiri. Matlamatnya ialah dia mahu menimba pengalaman sebanyak mungkin.

"Saya tidak belajar tinggi, tamat sahaja SPM, saya terus bekerja sebagai tukang cuci pinggan di KL Hilton selama dua tahun," akuinya tanpa rasa malu. Peluang yang diperolehnya dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Bagaimanapun, Idris terpaksa meninggalkan kerjayanya itu kerana mahu membantu keluarganya yang juga terlibat dalam bisnes katering. Lebih sedekad menimba pengalaman dalam bisnes itu, Idris mendapat tawaran bekerja di Kelab Sunway, di Petaling Jaya. Tetapi bukan sebagai pencuci pinggan.

Sebaliknya, Idris diberi kepercayaan di bahagian dapur. Setiap hari, dia perlu memasak makanan segera sahaja.


TABURAN rempah ratus boleh disukat mengikut cita rasa sendiri.


Semasa bekerja di Kelab Sunway, Idris sedar bahawa dia mempunyai bakat dalam bidang masakan. Pada suatu hari, tanpa disengajakan Idris mengambil alih tugas tukang masak. "Memang masa itu pesanan makanan ada tetapi chef pula tidak ada, jadi saya tanpa berfikir panjang terus mencapai peralatan memasak.

"Saya memang ingat ketika itu saya masak spageti. Semua kawan tengok, rupa-rupanya salah seorang chef eksekutif sedang memerhatikan saya masak di belakang," ujarnya.

Bermula dari detik itu, Idris ditawarkan jawatan chef dan bakatnya dalam masakan semakin menyinar sehingga dia berdikari memulakan perniagaan sendiri.

Penat berbayar

Penat lelah Idris berbayar apabila dia berjaya menubuhkan Dr. Grill Catering yang diusahakan sejak sedekad lalu. Lebih membanggakan Idris, bisnesnya itu bukan saja dikenali di sekitar Kuala Lumpur, bahkan hingga ke Sabah dan Sarawak.

Apakah yang membuatkan perniagaan kateringnya dikenali? Kambing panggang merupakan antara menu istimewa katering Idris. "Saya memilih menu itu kerana selain ia agak sukar diperoleh, biasanya kambing panggang hanya boleh didapati di hotel-hotel. "Bukan semua orang mampu untuk makan atau menganjurkan majlis-majlis di hotel. Sebab itulah saya mengambil inisiatif ini untuk memberi pilihan kepada orang ramai terutama mereka yang menggemari kambing," ujar bapa kepada tiga anak itu.


KAMBING panggang Idris turut digemari oleh orang-orang kenamaan.


Lebih membanggakan, dia menerima tempahan sebanyak 300 ekor dalam tempoh tiga bulan. "Tahun lalu saja, menjelang bulan puasa sehingga bulan Disember saya terima banyak tempahan. Sebab pada masa itu banyak pihak menganjurkan majlis," katanya yang sibuk menjelang hujung minggu. Benar, menikmati kambing panggang mungkin mudah tetapi bagaimana pula proses penyediaannya? Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah membersihkan kambing tersebut sebelum membungkusnya dengan pembalut aluminium. Ia akan dibalut sebanyak tujuh lapis.

"Saya tidak boleh membalutnya sesuka hati sahaja," seloroh Idris. Penggunaan pembalut aluminium turut dititikberatkan bagi memudahkan proses pembungkusan kambing dan langkah seterusnya. Rempah ratus yang telah dimasak akan disapu di seluruh kambing. Apakah bahan-bahan rempah ratus yang digunakan? "Untuk rencah kambing panggang, kami menggunakan serbuk kuzi, kari, kunyit, beriani, bawang, serai dan halia yang dikisar," jelasnya yang turut menabur serbuk lada hitam sebelum kambing dipanggang bagi menghilangkan bau hamis.


KAMBING biri-biri seberat 15 kilogram ini boleh dinikmati seramai 50 orang.


"Kalau ditanya kuantiti sukatan yang diperlukan untuk bahan tersebut memang saya tidak boleh jawab. Ini kerana saya lebih suka memasukkan bahan masakan mengikut air tangan. "Sebab bagi saya memasak ni lagi sedap kalau kita campak semua bahan yang sesuai. Sebelum ramuan tersebut digaul, kambing perlu dicucuk-cucuk dagingnya dengan pisau supaya ramuan rempah ratus meresap ke dalam daging," katanya.

Idris yang dilihat cukup cekap dalam melakukan proses itu, sempat berkongsi ilmu mengenai tempoh memerap kambing yang ingin dipanggang. Dalam nada bersahaja, anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu mengatakan, dia tidak pernah mempercayai dengan teori lebih lama kambing diperap maka rasanya lebih enak.

Ini kerana mengikut pengalaman Idris petua tersebut sebenarnya tidak begitu tepat. Keenakan sesuatu makanan terletak kepada perencah yang digunakan bukannya tempoh masa. Selesai membungkus kambing dengan teliti kambing itu diikat dengan dawai. Teknik ikatannya bebas tetapi yang harus diutamakan ialah bermula dari kaki. Dawai itu berfungsi untuk memudahkan proses mengangkat dan memasukkan kambing ke dalam tong pembakar.


DR. Grill turut menawarkan hidangan ikan dan makanan laut bakar berempah.


Bakar peringkat pertama

Masa yang diperuntukkan untuk memanggang kambing pada peringkat awal ialah satu jam. Cara memanggangnya juga mudah letakkan di dalam tong pembakar secara mengereng.

"Tempoh 30 minit diperlukan untuk membakar bagi satu bahagian, cukup sahaja masa ia pelu diterbalikkan dan angkat selepas 30 minit kemudian. Bahagian atas tong pembakar itu pula perlu ditutup dengan kertas pembalut aluminium," tuturnya.

Apa yang menariknya mengenai kambing panggang Dr. Grill ialah ia tidak memerlukan tempoh masa yang lama untuk dimasak selama enam jam. Adakah masa yang sesingkat itu mampu melembutkan daging kambing? "Belum tentu lebih lama kambing dipanggang, daging akan lebih lembut. Mengapa ia lembut? Sebabnya, saya memilih kambing biri-biri dari Australia dan New Zealand sahaja.

Tepat satu jam, dawai dan pembalut aluminium ditanggalkan. Ini bermakna kambing yang dipanggang 70 peratus siap dimasak. Sementara itu, sebelum ia digantung untuk proses memanggang, Idris meletakkan ramuan terakhir. "Jangan lupa untuk letakkan minyak kelapa juga kerana ia akan mengekalkan rasa asli kambing itu. Pada masa yang sama, daging itu tidak akan terlampau kering," jelas Idris yang banyak dibantu isterinya, Asrah Ramsi.

Sekitar 30 minit, kambing yang siap dipanggang akan dipotong dan dihiasi dengan brown sauce, bawang besar dan lada benggala.

INFO

  • Arang perlu disusun lebih banyak diletakkan di bahagian depan dan belakang berbanding tengah. Ini kerana bahagian tengan merupakan tulang rusuk kambing dan ia akan mudah terbakar.

  • Untuk mengetahui sama ada kambing itu masak sepenuhnya, gunakan pisau lalu cucuk pada bahagian daging kambing. Kemudian letakkan pisau itu pada lengan untuk mengetahui sama ada panas atau tidak.
  • Mereka yang ingin mengusahakan kambing panggang mestilah mampu bertahan untuk berdepan dengan api.
  • Pengambilan air berkarbonat amat sesuai ketika menikmati kambing panggang untuk menghilangkan rasa muak.
Alamat:
No. 29 Lorong 4/8E,
Taman Tasik Tambahan,
Ampang, Selangor.
Telefon: 03-4297 3999 atau 016-667 0012.