Selasa, 26 Mei 2009

Melindungi enggang hutan

Selain melindungi habitat penting spesies burung-burung ini, Persatuan Pencinta Alam Malaysia juga mahu perlindungan yang lebih menyeluruh terhadap kompleks hutan Belum-Temengor.




KOMPLEKS hutan Belum-Temengor yang terletak di Perak berusia lebih 130 juta tahun iaitu lebih tua daripada Hutan Amazon dan Congo.

Laporan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) pada tahun 2005, menunjukkan kompleks hutan tersebut dilihat sebagai salah satu kawasan hutan terpenting di Semenanjung Malaysia yang memberi perlindungan kepada pelbagai flora dan fauna dunia yang terancam.

"Ini menjadikan kawasan hutan seluas kira-kira 266,170 hektar itu satu kawasan keutamaan yang harus dipelihara," ujar Pegawai Pemuliharaan Projek Pemuliharaan Burung Enggang MNS, Ravinder Kaur, ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Ravinder berkata: "MNS telah menganjurkan dua ekspedisi saintifik di kompleks hutan Belum-Temengor pada 1994 dan 1998 untuk merekodkan biodiversiti yang ada.

"Hasil daripada itu telah mencetuskan hasrat persatuan untuk menjadikan hutan yang penuh dengan khazanah alam itu sebagai sebuah hutan yang terlindung."

Semasa ekspedisi tersebut, MNS telah menyaksikan ribuan burung enggang hutan daripada spesies Aceros subruficollis yang kini terancam, terbang secara berkumpulan melalui hutan tersebut.

"MNS telah memulakan sebuah projek usaha sama jangka masa panjang untuk memulihara kompleks hutan Belum-Temengor yang dikenali sebagai Projek Pemuliharaan Burung Enggang MNS sejak lima tahun lalu," katanya sambil memaklumkan bahawa Hutan Belum-Temengor dikenali di serata dunia sebagai Kawasan Penting Burung (IBA).

Projek Pemuliharaan burung enggang MNS itu turut ditaja oleh Sime Darby Plantations Sdn. Bhd.




Burung enggang merupakan salah satu burung terbesar di hutan tropika Asia Tenggara. Sungguhpun mudah dikenali, namun burung yang tergolong dalam famili Bucerotidae itu masih belum dikaji dengan mendalam.

Di Asia, terdapat 31 spesies burung enggang daripada lapan genera yang telah dikenal pasti.

"Daripada jumlah tersebut, 10 spesies burung enggang dikenal pasti daripada enam genera yang boleh ditemui di hutan Malaysia.

"Menariknya, kesemuanya boleh dijumpai di kawasan Taman Negeri Diraja Belum dan hutan simpan Temengor yang dirujuk sebagai kompleks hutan Belum-Temengor," kata Ravinder yang telah terlibat selama tiga tahun dalam projek tersebut.

Burung enggang hutan yang telah dinamakan sebagai spesies fokus utama di kompleks hutan Belum-Temengor itu pernah digambarkan secara saintifik oleh Blyth pada tahun 1843.

Ravinder turut memberitahu bahawa burung tersebut sering kali dikelirukan dengan enggang gunung yang kelihatan hampir sama.

Sungguhpun sukar, tetapi perbezaan boleh dilihat di bahagian paruh dan kantung yang terdapat pada burung berkenaan.

Muncul di Perak

Pada mulanya spesies ini dipercayai tidak didapati di Malaysia, tetapi buat kali pertama pada tahun 1993, ia telah ditemui hinggap di sebuah tasik di Perak dan dipercayai mengunjungi kawasan itu secara bermusim semasa pokok Parkia berbuah pada bulan Ogos sehingga September.

Merujuk laman web www.orientalbirdclub.org yang menerbitkan jurnal hasil pemerhatian Ho Hua Chew dan Sutari Supari, spesies burung enggang yang ditemui di tepi Tasik Kenering, Perak telah disahkan sebagai burung enggang hutan oleh peneraju penyelidikan burung istimewa itu, Dr. Pilai Poonswad.

"Dengan bunyi keh-kek-kehk yang lebih kuat dan nyaring, burung ini berhijrah dari Myanmar dan Thailand ke Malaysia pada musim buah.

"Dari bulan Jun sehingga September, kita dapat melihat ribuan burung ini terbang di sekitar tasik," ujar Ravinder.


RAVINDER memaklumkan pemantauan terhadap kepelbagaian spesies enggang di kompleks hutan Belum-Temenggor dilakukan dengan teliti.


Laman web BirdLife International memaklumkan pada tahun 1993, populasi burung enggang hutan dianggarkan kurang 1,000 ekor.

"Walaupun demikian, penemuan satu lokasi hinggap yang dikunjungi kira-kira 900 ekor burung ini di kawasan selatan kedua-dua negara tersebut telah mencadangkan bahawa nilai tersebut perlu diimbas semula.

"Beberapa ribu ekor burung telah mengunjungi satu atau dua lokasi sarang di sebelah utara Malaysia dan kawasan ini jelas menunjukkan bahawa ia menyokong populasi penting burung tersebut," katanya.

Menggemari kawasan hutan hijau, khususnya yang bertanah rendah dan bukit yang mempunyai ketinggian sehingga 1,000 meter, spesies tersebut mempunyai diet yang pelbagai.

"Makanan utamanya bukan sahaja buah-buahan, tetapi juga haiwan invertebrata dan vertebrata kecil. Ia akan bersarang dari bulan Januari sehingga Jun di dahan pokok yang besar dan tinggi," jelas Ravinder.


FORMASI terbang berbentuk huruf ‘V’ burung enggang hutan.





Sungguhpun membiak di Thailand, tambah wanita tersebut, kawasan Belum-Temengor merupakan kawasan penting bagi spesies berkenaan.

"Kami mendapati kawasan Belum-Temengor penting kerana faktor makanan yang ada di hutan tersebut,"tambahnya.

Dengan formasi terbang berbentuk huruf V, Ravinder berkata, corak terbang itu sama setiap kali burung-burung tersebut berhijrah ke Perak.

"Sekiranya burung ini tidak dilindungi, habitat pentingnya akan musnah dan lama-kelamaan, ia akan hilang dari muka bumi."

Dalam usaha memelihara spesies penting itu, Ravinder berkata, MNS turut bekerjasama dengan penduduk Orang Asli di Belum dan Temengor, Jabatan Perhilitan, Jabatan Perhutanan dan beberapa pihak lain.

"Kerja-kerja pemeliharaan melibatkan bancian untuk menentukan penyebaran, status, saiz populasi dan keperluan sebenar dalam setiap habitat.

"Burung ini memerlukan pokok besar untuk tinggal. Oleh itu, tidak menghairankan jika kita nampak lebih daripada beberapa ekor burung bersarang pada sebatang pokok besar," jelas Ravinder.

Sehubungan itu, katanya, peranan penting yang dimainkan oleh pokok-pokok besar dengan kehidupan burung enggang perlu diberi perhatian.

"Lubang pada pokok besar merupakan sarang burung-burung ini. Sekiranya bilangan pokok-pokok besar berkurangan akibat aktiviti pembalakan, maka populasi burung enggang hutan turut menerima kesan."

Dalam pemantauan yang dilakukan pada tahun lalu, sebanyak 3,261 ekor burung enggang spesies berkenaan telah dicatatkan.

"Melalui program sukarelawan kami, bancian dilakukan dengan beberapa individu berada di atas sebuah bukit tinggi dan melihat arah yang berbeza.

"Untuk mengelakkan kiraan yang berulang, kami telah meletakkan garis had," jelas Ravinder.

Menyebarkan benih

Burung enggang amat penting dalam penyebaran benih. Kehadiran mereka menyebabkan hutan sihat. Mereka seperti 'petani hutan'.

Burung enggang, kata Ravinder lagi, merupakan burung yang berdedikasi.

"Burung enggang betina akan mengurung diri mereka dalam lubang sarang untuk mengeram telur dan membesarkan anaknya, sementara burung jantan akan keluar mencari makanan

"Si ibu tidak akan meninggalkan anaknya sehingga ia matang dan mampu terbang sendiri. Ada pihak mengatakan sekiranya si bapa mati, keluarga itu juga akan mati," kata Ravinder yang tidak menafikan adakalanya disebabkan keadaan benar-benar terpaksa, burung betina akan keluar dari sarangnya untuk mencari makanan.

Beliau menambah: "Bermula dengan penumpuan pada burung enggang hutan, kini projek pemeliharaan itu telah berkembang dengan turut melibatkan aktiviti pemantauan terhadap sarang-sarang spesies lain burung tersebut.

"Setakat ini, dengan kerjasama Orang Asli di hutan sekitar Belum-Temengor, kami berjaya mengesan 10 sarang dengan empat daripadanya masih aktif.

"Sungguhpun demikian, populasi burung enggang didapati berkurangan dengan pantas disebabkan aktiviti pemburuan haram dan pemusnahan hutan di habitatnya," ujar Ravinder.

Beliau memaklumkan bahawa kumpulan projeknya masih belum berjaya menemui lokasi tepat sarang burung enggang hutan sungguhpun tinjauan udara dan tanah telah dilakukan.

"Ini disebabkan keadaan hutan yang tebal dan juga pokok tinggi yang dijadikan sarang, menyukarkan kita menemuinya," jelas Ravinder.


BURUNG enggang hutan menggemari pepohon besar dan tinggi.


Wanita berusia 27 tahun ini berkata: "Matlamat kami adalah untuk memelihara kompleks hutan Belum-Temengor kerana peranan besar yang dimainkannya dalam ekosistem flora dan fauna.

"Kami berharap dapat membangunkan kajian burung enggang dan meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kepentingan burung istimewa ini kepada ekosistem hutan di Malaysia.

"Bukan hanya itu, MNS juga berharap perlindungan yang lebih menyeluruh terhadap kompleks hutan Belum-Temengor dapat dilakukan."

Sabtu, 23 Mei 2009

KOLEKSI BUKU TOK GURU 5



KOLEKSI BUKU TOK GURU 4





KOLEKSI BUKU TOK GURU 3





KOLEKSI BUKU TOK GURU 2





KOLEKSI BUKU TOK GURU





Troli Tenom





9 kampung putus hubungan: 2,000 penduduk sukar pasarkan hasil pertanian dan sayur-sayuran di pekan Tenom

JIKA di bandar, masyarakat mudah menikmati pengangkutan persendirian atau awam. Hakikatnya nun di pelosok pedalaman, pengangkutan adalah antara rencam kehidupan yang amat memeritkan.

Bagi penduduk di pedalaman Tenom, Sabah, kereta api diesel yang beroperasi sejak 1970 adalah nadi kehidupan mereka setiap kali mahu ke pekan Tenom. Kereta api yang menggunakan enjin Hitachi 5101 milik Jabatan Kereta Api Negeri Sabah (JKNS) itu adalah satu-satunya pengangkutan awam yang membawa mereka keluar dari kawasan dikelilingi hutan.


Setiap kali kereta api memulakan perjalanan dari Stesen Kereta Api Tenom ke Stesen Kereta Api Beaufort sejauh 49 kilometer, penduduk kampung di sepanjang landasan berkenaan tidak melepaskan peluang untuk menggunakannya untuk ke pekan Tenom atau Beaufort.


Bagaimanapun, tragedi pada jam 3 petang, 9 April 2008 menyebabkan mereka tidak lagi menikmati perkhidmatan itu. Dua terbunuh manakala 24 lagi cedera, termasuk tiga parah apabila kereta api yang mereka naiki terjunam ke dalam Sungai Padas di Kampung Tenom Lama.

Selama enam bulan, mereka tidak dapat menaiki kereta api berikutan kerja membaik pulih landasan yang dilaksanakan JKNS.

Penduduk kampung di sepanjang landasan dari Stesen Kereta Api Tenom-Kampung Rayoh terpaksa menggunakan troli untuk berulang alik ke pekan Tenom.

Dalam tempoh itu, mereka terpaksa berjalan setiap kali ingin ke pekan Tenom atau Beaufort. Bagaimanapun, berdasarkan rayuan penduduk, JKNS memulakan semula perkhidmatan kereta api dari dua arah, iaitu Stesen Kereta Api Tenom-Kampung Rayoh dan Stesen Kereta Api Beufort-Kampung Halogilad.

Bagaimanapun, mereka sekali lagi dihimpit kesukaran apabila JKNS menghentikan perkhidmatan kereta api Stesen Kereta Api Tenom-Kampung Rayoh berikutan tebing Sungai Padas mengalami hakisan teruk akibat banjir pada Disember lalu.

Landasan yang bergerak seiring dengan tebing Sungai Padas perlu dibaik pulih, manakala tebing sungai yang terhakis perlu diperkukuh melalui kerja pembaikan.

Sejak Januari lalu hingga kini, kira-kira 2,000 penduduk di sembilan kampung terpaksa mencari alternatif pengangkutan untuk membawa hasil pertanian seperti getah, pisang, koko dan pelbagai jenis sayur-sayuran untuk dipasarkan di pekan Tenom.

Penduduk terpaksa mengangkat troli ketika melalui landasan yang terputus dan dibaik pulih untuk pulang ke rumah mereka di Kampung Stesen Pangi.
Terdesak dengan ketiadaan alat pengangkutan, mereka menggunakan kreativiti sendiri dengan membina troli untuk digerakkan di landasan kereta api.

Penduduk Kampung Tenom Lama, Masisilau, Pangi Seberang, Motolob, Stesen Pangi, Kelandos, 78, 75 dan Rayoh yang terputus hubungan dengan dunia luar, terpaksa menggunakan troli untuk ke pekan Tenom.

Meskipun terpaksa bermandi peluh dan menahan lenguh, penduduk yang rata-ratanya hidup di bawah paras kemiskinan terpaksa mencipta troli diperbuat daripada papan berukuran 2.17 x 2.17 meter dengan jarak antara roda dengan roda 0.89 meter untuk menyambung kehidupan.

Di atas troli itulah, mereka menujah kayu ke tanah untuk membolehkan troli meluncur di landasan bagi perjalanan di antara tiga hingga 15 kilometer (km) dari Stesen Kereta Api Tenom ke destinasi terakhir iaitu Kampung Rayoh.

Mereka tidak pernah menikmati kemudahan jalan berturap, apatah lagi jalan raya. Dengan mengumpul kudrat empat kerat, mereka menguatkan tekad menolak troli dengan peluh menyimbah di bawah terik matahari.

Bagi perjalanan dari Stesen Kereta Api Tenom ke sembilan kampung itu, mereka mengerah tenaga selama kira-kira dua jam meniti landasan menuruni bukit. Keperitan itu kian menghimpit setiap kali mereka mendaki bukit sebelum tiba di pekan Tenom dalam tempoh tiga jam.

Perit-jerih mendaki bukit menyebabkan mereka terpaksa turun dari troli untuk menolak alat pengangkutan itu. Setiap kali bertembung dengan pengguna troli dari arah bertentangan, diplomasi dan kesabaran tahap tertinggi dituntut supaya tiada yang berkecil hati.

Pengguna troli yang tidak membawa barang, penumpang anak kecil atau warga emas, harus mengalah untuk turun dari troli dan mengangkat papan beroda itu bagi memberi laluan kepada pengguna lain.

Dengan troli itulah, mereka membawa getah keping atau sekerap, selain hasil pertanian yang lain ke pekan Tenom. Selesai menjual getah atau hasil pertanian, lazimnya mereka membeli barangan makanan untuk dimuatkan di atas troli.

Keringat yang membasahi tubuh setiap kali menolak troli adalah rencam kehidupan masyarakat jauh di pedalaman Tenom. Walaupun terpaksa mengharungi kesukaran dan penderitaan, hidup mesti diteruskan. Jauh di sudut sanubari mereka mengharapkan agar kerja membaiki landasan oleh JKNS segera disiapkan.

JOM SINGGAH

Tinjau khazanah Tasik Kenyir

Selain bersuka ria di pekarangan resort, ada yang memilih untuk memancing, meredah keluasan tasik, meneroka gua ataupun bersendirian atas penginapan bot.




KALI ini persinggahan EKSTRA ialah Tasik Kenyir, Terengganu. Terpegun dalam pesona, nyata sekali kawasan takungan air seluas 260,000 hektar itu telah menyuburkan warisan alam semula jadi yang ada di sekelilingnya.

Tidak hairan jika sudah bertahun-tahun lokasi itu memukau hati ramai pengunjung hanya kerana pandangan kali pertama.


DI SEBALIK ketenangan air Tasik Kenyir, siapa sangka di dalamnya terdapat lebih 300 spesies ikan.


Tidak dapat dibayangkan bagaimana kawasan yang luas dan berbukit-bukit akhirnya berubah menjadi beratus-ratus buah pulau gara-gara ditenggelami air.

Didorong prospek pelancongan yang menggalakkan, sebahagian daripada pulau itu kini telah dibangunkan dengan kemudahan penginapan dan juga tarikan pengembaraan lain.


KENALI proses formasi batu dan hubungan biologi kehidupan di dalamnya.


“Tasik Kenyir adalah untuk mereka yang gemar pada ketenangan alam. Begitu juga dengan yang gila memancing.

“Saya sendiri kalau tidak bertugas atau beristirehat di pulau peranginan di perairan laut, akan menghabiskan masa berkhemah di pinggir tasik ini,” ujar Pengarah Urusan Ayu Mayang Resort di Pulau Redang, Yap Chuan Bin.


KETENANGAN yang menanti di sudut terlindung jaringan sungai.


Begitu sekali tarikan kawasan akuatik di utara bumi Darul Iman ini. Dengan panggilan 340 buah pulau di tengah tasik, 14 air terjun, beberapa jeram serta sungai, Tasik Kenyir sememangnya menyimpan ribuan khazanah alam yang berharga.

“Orang sepatutnya menghargai simfoni semula jadi seperti bunyi unggas dan serangga, kesegaran udara dan juga kedamaian yang dipersembahkan kepada semua. Hormatilah alam yang indah ini,” tambah Yap.


GAYA hidup atas bot boleh dicuba bagi yang mahukan kelainan.



LALUAN pejalan kaki dalam Gua Bewah telah dipermudahkan untuk pengunjung.



SELAIN meredah tasik, tetamu Tasik Kenyir boleh menyertai aktiviti memancing, berkayak, meredah hutan atau melawat santuari kelah.



JETI singgah yang menyambut kedatangan pengunjung ke mulut Gua Bewah.





Sama seperti pejuang alam sekitar yang lain, lelaki yang ditemui ini kurang bersetuju dengan pengusaha pelancongan atau resort yang mengganggu aturan itu dengan operasi karaoke, pusat hiburan dan ekspedisi pacuan empat roda yang melampau.

Memang benar, hutan hujan yang menyumbangkan kesegaran oksigen di Tasik Kenyir turut menjadi habitat bagi pelbagai hidupan flora dan fauna.

Pasti seronok para pencinta alam jika menemui spesies pokok pakis yang jarang ditemui, anggerik eksotik, atau unggas dan haiwan seperti enggang, gajah, cempelai dan juga harimau kumbang.

Mengikut brosur promosi pelancongan yang dipetik daripada rekod Jabatan Perhilitan, Tasik Kenyir dan belantara di sekelilingnya menjadi rumah bagi lebih daripada 8,000 spesies bunga, 2,500 spesies pokok dan tumbuhan termasuk 800 spesies orkid dan 300 spesies kulat.

Bagaimana agaknya aksi dan cabaran menaikkan baung, lampam, toman dan kelah di sini? Kajian terkini mendapati terdapat kira-kira 300 spesies ikan air tawar membiak di dalam Tasik Kenyir.

Kalau belum menandakan lokasi ini dalam rencana kunjungan akan datang, mungkin statistik itu membuatkan jantung si kaki pancing berdegup lebih kencang!

Bersiar dengan bot, berkayak, merentas hutan, ekspedisi pacuan empat roda dan panggilan padang golf adalah antara senarai riadah dan rekreasi yang popular di sekitar tasik yang menjadi pintu masuk ke Taman Negara melalui Tanjung Mentong ini.

Jika kawasan perkhemahan dan trek merentas hutan mudah disertai di sepanjang Sungai Saok, Lasir, Cacing, Lawit, Petang, Terenggan, Tembat dan Pulau Poh, aktiviti rentas hutan yang ekstrem pula menanti di trek laluan ke puncak Gunung Gagau.

Tidak ketinggalan ialah aktiviti meneroka gua. Selain Gua Taat, Gua Bewah sangat diingati kerana kisah kehidupan manusia prasejarah banyak diceritakan sepanjang usia kewujudannya.

Kedua-dua gua itu antara yang masih boleh dikunjungi ‘isi perutnya’ kerana tidak ditenggelami air sejak pembinaan Empangan Kenyir.

Di Tasik Kenyir, pengunjung tidak perlu khuatir akan soal penginapan. Di sini terdapat pilihan penginapan bertaraf tiga bintang yang masing-masing bersaing menawarkan kemudahan bernilai tambah.

Paling popular dan mungkin menghampakan pengunjung yang terlewat menempah pada musim tertentu tentunya penginapan gaya calet tradisional.

Baik yang dibina di atas pulau, gaya terapung seperti rumah bot ataupun yang terperosok sedikit ke dalam redup rimba, semuanya sedia dihuni.

“Antara perkara yang menjadi faktor dalam membuat keputusan penginapan ialah kemudahan dalam bilik, panorama persekitaran, arah matahari terbit, lokasi memancing, aspek privasi dan juga jarak perjalanan dari Jeti Gawi,” kata Azmi Mohd., dari agensi pelancongan Ping Anchorage Travel & Tours Sdn. Bhd.

Memetik perancangan kerajaan negeri melalui kenyataan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said tahun lalu, Tasik Kenyir dijangka muncul dengan tarikan baru iaitu aktiviti jelajah pulau.

Sebanyak 10 buah pulau kecil yang terdapat di bahagian utara Tasik Kenyir akan dibangunkan mengikut tema tertentu.

Projek yang dilaksanakan Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) itu akan menyaksikan pembinaan Taman Eko-Kenyir seluas 61 hektar di Pulau Selimbar, Pulau Tekak Kecil dan Pulau Kuala Tekak.

Khabarnya taman orkid, taman tropika, taman rama-rama dan taman burung akan dibangunkan di beberapa lokasi berhampiran.

Biar apa pun tujuannya, jangan pula terjadi apa-apa yang boleh mengorbankan keindahan yang sudah sedia ada di Tasik Kenyir. Datanglah ke sini dan alamilah sendiri!

Khamis, 21 Mei 2009

SUKAN

Kafa tak sanggup tanggung kerugian




Itu dilema Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) sejak digantung beraksi di tempat sendiri Stadium Sultan Mohammad Ke-IV bermula 9 April lalu.

Tiada persatuan yang mahu kantung mereka kering kerana ia akan membunuh bola sepak itu sendiri selain menjejaskan 'periuk nasi' pemain.

Adakah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan membayar gaji pemain sekiranya sesebuah persatuan itu tidak mampu membayar gaji mereka?

Skuad bola sepak Kelantan memang tenat ketika ini.

Pendapatan mereka di Stadium Sultan Mohammad Ke-IV disekat oleh FAM dan akibatnya Kafa terpaksa menanggung kerugian RM30,000 setiap perlawanan.

Kelantan masih ada baki 11 perlawanan Liga Super dan Kafa mendapati mereka akan terus menanggung kerugian berjumlah RM330,000 sekiranya meneruskan saingan sehingga ke penghujung musim.

Menyedari masalah yang dilihat agak tenat itu, Kafa terpaksa membuat keputusan untuk memilih salah satu daripada dua opsyen yang mereka rancangkan.

Opsyen pertama, Kelantan akan terus beraksi dalam baki saingan Liga Super musim ini dengan menjadikan Stadium Nasional, Bukit Jalil sebagai gelanggang sendiri tetapi terpaksa menanggung kerugian RM30,000 pada setiap perlawanan.

Opsyen kedua, Kelantan akan menarik diri daripada baki perlawanan Liga Super musim ini tetapi mengekalkan pasukan sedia ada untuk mengadakan perlawanan amal mencari dana kewangan bagi membolehkan mereka kembali beraksi pada saingan Piala Malaysia, Oktober depan.

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa sendiri membuat pendedahan tersebut pada sidang media selepas perlawanan Liga Super di Stadium Nasional malam kelmarin yang menyaksikan Kelantan kalah buat kali keempat berturut-turut, kali ini tewas 1-2 kepada Perlis.

Menurut Annuar, selepas hampir dua bulan menyembunyikan masalah kepada pihak media, dia akhirnya terpaksa meluahkannya juga untuk memastikan orang ramai mengetahui situasi sebenar yang dihadapi pasukan Kelantan ketika ini.

"Kita telah menjalankan kajian menyeluruh. Kita hanya dapat sekitar 5,000 penonton saja pada setiap kali beraksi di Stadium Nasional. Ini bermakna pada setiap perlawanan, kita kerugian RM30,000 termasuklah kos sewa stadium, bas, hotel, makan dan sebagainya.

"Selepas dibuat kira-kira, kantung Kafa akan mengalami defisit RM400,000 pada penghujung musim nanti. Kafa satu-satunya pasukan negeri yang bergantung penuh kepada kutipan tiket," katanya.


KEPUTUSAN sama ada Kelantan akan terus beraksi pada baki saingan Liga Super akan ditentukan pada 27 Mei ini.





Justeru, Annuar berkata, langkah yang dilihat lebih selamat untuk mengelakkan Kafa terus mengalami kerugian adalah dengan menarik diri daripada baki perlawanan Liga Super musim ini tetapi dengan cara baik.

"Kita akan buat permohonan tarik diri kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Sebelum ini kita dah buat rayuan tetapi tidak mendapat simpati mana-mana pihak malah rayuan kami telah pun ditolak FAM.

"Jika kita tarik diri, dalam dua hingga tiga bulan yang ada ini saya akan gunakan untuk merayu kerajaan negeri, individu atau syarikat swasta untuk menaja dari segi kewangan supaya kita dapat kembali beraksi dalam Piala Malaysia," jelasnya.

Annuar berkata, keputusan sama ada Kafa akan memilih opsyen pertama atau opsyen kedua itu bagaimanapun hanya akan diputuskan pada Mesyuarat Ahli Majlis Kafa pada 27 Mei ini.

Sementara itu, Annuar memberitahu, semua pihak termasuk Ketua Polis Kelantan, Kerajaan Negeri Kelantan dan persatuan penyokong Kelantan memberi jaminan insiden keganasan penonton pada 7 April lalu tidak akan berulang lagi jika FAM bermurah hati membenarkan semula Kelantan beraksi di Stadium Sultan Mohammad Ke-IV dalam masa terdekat ini.

"Semua pihak sudah menyatakan kesediaan mereka untuk bertanggungjawab memastikan perlawanan diadakan dengan lancar di Stadium Sultan Mohammad Ke-IV.

"Lagipun Kelantan merupakan satu-satunya pasukan di dunia yang tidak dibenarkan beraksi di stadium sendiri. Jika ada pun, pasukan lain yang dihukum tetap diberikan beraksi di stadium sendiri tetapi tanpa dihadiri penonton," ujar Annuar.

Sabtu, 16 Mei 2009

KAMPUNG PALING RAMAI KEMBAR

Kampung paling banyak kembar


KELAHIRAN kembar di Kodinhi dikenal pasti secara perubatan sejak lebih 60 tahun lalu.


DI sebuah perkampungan India yang terpencil, Kodinhi di Kerala, terdapat hampir enam kali ganda kelahiran kembar berbanding purata dunia.

Kira-kira 250 pasangan kembar telah didaftarkan di kampung yang dihuni 2,000 keluarga itu.

"Berdasarkan pengalaman perubatan saya, terdapat kira-kira 300 hingga 350 pasangan kembar di Kampung Kodinhi," kata Dr. Krishnan Sribiju yang menambah, masih banyak kelahiran yang belum didaftarkan.

Sebagai doktor setempat dan pengikut setia perkembangan kelahiran kembar, Sribiju sudah menghabiskan masa sehingga dua tahun untuk mengkaji fenomena kembar kampung itu.

"Perkara yang menakjubkan adalah peningkatan jumlah kembar setiap tahun begitu banyak sehingga saya merasakan sejak 10 tahun yang lalu bilangan pasangan kembar di Kodinhi sudah berganda.

"Berdasarkan pengetahuan saya, penemuan perubatan ini bermula sekitar 60 hingga 70 tahun lalu."

Jadi mengapa ada begitu banyak pasangan kembar di kampung itu? Barisan doktor sendiri masih buntu.

Sribiju menolak sebarang cadangan bahawa ia terjadi berikutan faktor genetik atau pencemaran, memandangkan kesemua pasangan kembar di situ dilahirkan dalam keadaan sihat.

Rawatan kesuburan seperti semaian in vitro pula tidak digunakan di kampung itu kerana kosnya yang tinggi.

"Saya fikir ia ada kaitan dengan aktiviti dan makanan serta minuman yang diambil oleh penduduk kampung," kata Sribiju.

"Malah, kembar lazimnya dilahirkan wanita yang lebih berusia, sedangkan di Kodinhi senarionya berbeza. Penduduk di kampung ini kebanyakannya kahwin muda pada usia sekitar 18 hingga 20 tahun dan mereka berkeluarga tidak lama selepas itu."

Jumaat, 15 Mei 2009

INDAHNYA DABONG




SELAIN menyediakan pelbagai makanan enak, negeri Cik Siti Wan Kembang mempunyai banyak lokasi tarikan pelancongan untuk diteroka.
Terkenal dengan Pantai Seri Tujuh di Tumpat, zon bebas cukai di Rantau Panjang, Pantai Irama di Bachok, pusat peranginan dan perikanan Tok Bali di Pasir Puteh, Tasik Pergau di Jeli manakala pelbagai jenis gua di Dabong dan Gua Musang.

SELAIN menyediakan pelbagai makanan enak, negeri Cik Siti Wan Kembang mempunyai banyak lokasi tarikan pelancongan untuk diteroka.

Terkenal dengan Pantai Seri Tujuh di Tumpat, zon bebas cukai di Rantau Panjang, Pantai Irama di Bachok, pusat peranginan dan perikanan Tok Bali di Pasir Puteh, Tasik Pergau di Jeli manakala pelbagai jenis gua di Dabong dan Gua Musang.


Jika berkunjung ke Kelantan, pastikan anda melawat Dabong, kira-kira 160 kilometer ke barat Kota Bharu.

Biarpun dikatakan agak terpinggir daripada arus kemodenan, pekan kecil yang dikelilingi hutan tropika itu amat sesuai untuk mereka yang menggemari aktiviti rekreasi mencabar seperti mendaki gunung, menjelajah gua dan berakit menerjah arus deras serta jeram.

Dabong bukanlah sesuatu yang asing untuk masyarakat di negara ini kerana ia popular dengan air terjun Jelawang yang mengalir deras ke bongkahan batu Gunung Stong yang dipercayai tertinggi di Asia Tenggara.

Tidak jauh dari gunung berkenaan, terletaknya empat gua menarik yang giat dipromosikan sebagai lokasi tarikan pelancong jika mengunjungi Dabong.

Gua Ikan, Gua Gelap (atau juga dikenali sebagai Gua Batu Tersusun), Gua Keris dan Gua Pagar, mungkin asing bagi sesetengah orang, tetapi bagi golongan pencinta alam, ia amat popular.

Empat gua itu menyimpan pelbagai sejarah serta mitos tersendiri dan ramai mengakui sukar menaklukinya.

Menurut peneroka gua, Fauzi Hussin, nama Gua Ikan diperoleh ekoran daripada terdapatnya batu yang kelihatan seperti ikan di gua itu.

Ada mitos mengatakan dulu terdapat sejumlah ikan menghuni di gua itu dan ia dijadikan lokasi masyarakat Melayu kuno mengadakan majlis perkahwinan.

Namun, berbanding empat gua berkenaan, Gua Gelap paling mencabar dan sukar dimasuki kerana laluannya yang sempit dan gelap.

Pengunjung yang mahu ke Gua Keris dan Gua Pagar perlu melalui Gua Gelap dengan mengiring sebelum merebahkan badan dan mengensot secara melentang untuk melepasi laluan rendah serta sempit di pintu gua.

Bagi masyarakat tempatan, gua itu umpama perjalanan bayi yang gelap di dalam rahim ibunya sebelum bertarung nyawa ketika dilahirkan ke dunia.

Sesuai dengan namanya, Gua Gelap itu memang gelap dan pengunjung perlu menggunakan lampu suluh atau berpandukan cahaya yang melepasi lubang depannya.

Di sepanjang laluannya, pengunjung boleh melihat stalaktit serta stalagmit yang terbentuk hasil daripada titisan dan hakisan air sejak ribuan tahun dulu, bersinar terang apabila disuluh cahaya.

Menurutnya, kebanyakan susunan batu di gua berkenaan diusik dan dipindahkan golongan yang mencari batuan zamrud yang kononnya dikatakan banyak terdapat di gua itu.

Tidak jauh bezanya dengan Gua Keris yang mempunyai trek pendakian yang agak mencabar dengan pengunjung perlu memanjat batu licin.

Namun, kepenatan mendaki sejauh kira-kira 100 meter dari Gua Gelap pasti terubat sebaik saja tiba di dalamnya.

Menyambut kunjungan pengunjung ialah ukiran batu semula jadi seumpama sebilah keris yang terpacak di bumi, hasil cantuman stalaktit dan stalagmit.

Berbeza dengan gua lain, Gua Keris mempunyai permukaan yang mendatar dan luas seumpama sebuah padang bola sepak.

Gua itu dipercayai pernah didiami manusia dulu kala serta dijadikan sebagai lokasi untuk berlatih silat.

Menjelajah ke seluruh pelosok gua ini memang memberi kenangan indah kepada sesiapa saja terutama si pencinta alam.

Keindahan stalaktit dan stalagmit yang berkilauan apabila terkena cahaya memang melekakan pandangan sesiapa juga.

Terdapat pelbagai jenis flora dan fauna di gua ini antaranya sejenis flora istimewa yang sukar ditemui di tempat lain yang dikenali sebagai 'Vaughan's Balsam'.

Selain di gua berkenaan, ia dikatakan hanya terdapat di Perlis dan Selatan Thailand.

Dalam pada itu, keempat-empat gua berkenaan boleh diterokai dalam tempoh separuh hari jika pengunjung mempunyai masa yang terhad dan menghabiskan bakinya dengan bermandi-manda di tempat perkelahan air terjun yang berdekatan.

Biarpun berpotensi dijadikan sebagai salah satu lokasi tarikan pelancong di Kelantan tetapi ia seakan dipinggirkan pihak berkuasa tempatan (PBT ) yang dikatakan tidak menyedia dan menyelenggara kemudahan asas dengan baik.

Keadaan kemudahan tempat berehat, laluan perjalanan, papan tanda serta tandas yang disediakan memang cukup mendukacitakan.

Biarpun dikenakan bayaran masuk, tandas yang disediakan tidak mempunyai lampu dan bekalan air yang begitu perlahan selain kebersihan yang tidak dijaga.

Selain itu, PBT juga wajar meletakkan papan tanda yang sesuai dan bukan hanya berharap papan tanda daripada kertas fotostat kemudian ditampal di sekitar gua berkenaan.

Selasa, 12 Mei 2009

POLITIK PERAK 2

Belum sempat ‘panas’ kerusi





IPOH: Selepas 96 hari mengosongkan pejabat Menteri Besar di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin kembali semula ke situ pada jam 7.30 pagi semalam.

Bagaimanapun, belumpun sempat ‘memanaskan’ kerusi didudukinya, beliau bersama tujuh barisan Exconya terpaksa sekali lagi melangkah keluar dari bangunan itu kira-kira jam 3 petang berikutan keputusan Mahkamah Rayuan di Putrajaya membenarkan permohonan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi kelmarin.

Keputusan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Ramly Ali pada jam 1.20 tengah hari itu membolehkan Dr Zambry kekal sebagai menteri besar sehingga Mahkamah Rayuan menyelesaikan kes rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Dr Zambry berkata, penangguhan keputusan mahkamah itu diberikan sementara menunggu selesai rayuan yang dikemukakannya.

RAGAM MANUSIA

Pemegang rekod payu dara terbesar enggan dibedah



STITZ


ATLANTA - Pemegang rekod payu dara terbesar dunia, Norma Stitz mendedahkan dia enggan membuat pendedahan bagi mengecilkannya, lapor sebuah akhbar semalam.

Wanita itu berkata, ramai orang yang mengemukakan pertanyaan kepadanya bagi meminta penjelasan kenapa dia tidak membuat pembedahan untuk mengecilkan payu dara.

"Saya sayang payu dara saya dan ia memberikan saya satu kehidupan yang indah," kata Stitz.

Menurutnya, dia menerima banyak tawaran yang mengundangnya untuk muncul dalam program stesen televisyen di seluruh dunia.

Wanita itu turut mendedahkan ketika dia menemui lelaki, dia berharap mereka menaruh minat terhadap dirinya bukan payu daranya.

"Bagaimanapun, kebanyakan lelaki tidak bersembang dengan rancak. Mereka hanya merenung saya," katanya.

Wanita itu diiktiraf memiliki payu dara paling besar dengan berat hampir 18.14 kilogram oleh Guinness World Records. - Agensi

POLITIK PERAK

Nizar jadi MB Perak sehari




IPOH - Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin semalam menjadi Menteri Besar Perak tidak sampai 21 jam. Beliau hanya sempat mengadakan mesyuarat Exco, memasuki Pejabat Menteri Besar dan menghadiri istiadat pengurniaan pingat sempena Hari Keputeraan Sultan Perak di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Semuanya ekoran keputusan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ramly Ali semalam yang membenarkan permohonan Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir bagi penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan Mohammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah kelmarin.

Dalam tempoh itu, Mohammad Nizar berkesempatan untuk mengadakan mesyuarat Exco kerajaan Pakatan Rakyat yang diadakan di kediamannya di Sungai Rokam di sini.

Beberapa keputusan telah dibuat termasuklah memecat Setiausaha Kerajaan Negeri, Abdul Rahman Hashim dan Penasihat Undang-Undang Negeri Perak, Ahmad Kamal Shahid daripada jawatan masing-masing.

Pada pukul 7.25 pagi ini beliau tiba di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan bersama lapan bekas Exco kerajaan negeri Pakatan Rakyat sebelum meninggalkan premis terbabit menuju ke Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Mereka menghadiri majlis pengurniaan pingat yang disempurnakan oleh Pemangku Sultan Perak, Raja Dr. Nazrin Shah.

Ketika ditemui di luar istana, Mohammad Nizar mengesahkan beliau telah menyerahkan surat permohonan untuk mendapatkan tarikh menghadap Sultan Perak.

Surat tersebut dihantar oleh Setiausaha Politik beliau, Amran Harun ke Istana Kinta pada pukul 8.30 pagi semalam.

"Saya sedang tunggu tarikh untuk menghadap Tuanku Sultan dan selepas itu baru saya akan cakap (mohon untuk bubar DUN),'' katanya ringkas.

Sekembali Mohammad Nizar dari Istana Iskandariah, beliau sempat menjenguk ke pejabatnya sebelum menerima makluman mengenai keputusan Mahkamah Rayuan tersebut.

Beliau dilihat meninggalkan pejabatnya dan Bangunan Perak Darul Ridzuan kira-kira pukul 2.45 petang dan mengadakan sidang media khas di ibu pejabat DAP Perak di Medan Istana di sini.

"Tidak sampai 21 jam, kita terpaksa akur dengan keputusan (Mahkamah Rayuan) hari ini dan ini adalah keputusan yang paling aneh dibuat.

"Keputusan itu amat mengaibkan dan dibuat tanpa mengambil kira kepentingan rakyat. Rakyat terpinga-pinga dan rasa tidak menentu,'' katanya.