Isnin, 21 Disember 2009

Dilarang keluar rumah seminggu

Seperti masyarakat lain di Malaysia, kaum Orang Asli Semai juga mempunyai adat dan pantang larang yang perlu dipatuhi dalam urusan perkahwinan yang diwarisi sejak datuk nenek moyang mereka.




"BOLEHKAH kamu tinggalkan isteri di rumah sedangkan kamu pula merayap di luar? Bolehkah kamu laksanakan semua tugas yang saya beritahu kepada kamu tadi?"

Sambil menunjukkan beberapa peralatan seperti beliung, bubu ikan dan sumpit sebagai simbolik menggalas tanggungjawab sebagai suami, itulah soalan yang diajukan oleh penghulu kampung atau Tok Batin kepada pasangan bakal pengantin.

Sambil diapit oleh pengapit, jika ya jawapan si teruna daripada setiap soalan, Tok Batin itu dan pengantin perempuan juga menjawab ya, maka sahlah mereka sebagai pasangan suami isteri.

Soalan itu perlu diajukan di depan pengantin. Turut serta dalam upacara itu seorang wakil daripada pihak perempuan dan seorang wakil daripada pihak lelaki.


AZIMAH Bah Habis (dua dari kanan) dan pasangannya, Nazri Bah Cupoi masing-masing berumur 17 tahun pada majlis perkahwinan mereka baru-baru ini.


Begitulah serba sedikit gambaran awal mengenai adat perkahwinan kaum Semai yang disaksikan media di Kampung Sungai Rengsak, Batu 7, Tapah, Perak, baru-baru ini. Kaum Semai merupakan salah satu kaum Orang Asli yang terdapat di Malaysia. Kampung Sungai Rengsak ialah penempatan kaum Semai yang terbesar di Tapah, Perak.

Jelas Tok Batin, mengikut resam perkahwinan kaum Semai, mereka juga mempunyai adat merisik dan bertunang seperti kaum lain. Bertunang biasanya dilakukan dengan hanya percakapan dan persetujuan mulut sahaja.

"Terpulang kepada bakal pengantin. Jika mereka tidak ada duit, mereka boleh bertunang dahulu. Atau jika mereka sudah ada duit yang cukup perkahwinan boleh dijalankan serentak selepas majlis pertunangan," kata Tok Batin atau nama sebenarnya Bah Tamin.

Menurut Bah Tamin, 50, secara tradisinya, orang Semai akan berkahwin pada usia belasan tahun. Ini kerana kehidupan mereka hanya berlegar di persekitaran kampung yang tidak memungkinkan mereka hidup membujang dalam tempoh yang lama.

"Bagi lelaki yang ingin berkahwin, dia hanya perlu menyediakan wang belanja tubuh sebanyak RM25 untuk diberikan kepada bakal isteri serta sedia menggalas tanggungjawab memberi makan dan minum kepada isteri dan anak-anak," cerita Bah Tamin.

Jamuan ringan

Wang belanja tubuh itu seperti mas kahwin bagi masyarakat Melayu.

Namun, situasi berbeza sekiranya ada pemuda kampung yang berhasrat untuk mengahwini anak Tok Batin. Bezanya ialah wang belanja tubuh yang lebih tinggi iaitu RM60. Ia bagi menunjukkan martabat sebagai ketua penghulu dalam kampung itu sendiri.

Lazimnya, majlis perkahwinan kaum Semai dilangsungkan dalam sebuah pondok. Pondok itu merupakan balai untuk sebarang majlis keraian penduduk kampung.


KEBANYAKAN perhiasan menggunakan tumbuhan semula jadi.


Apabila tiba hari perkahwinan, balai yang diperbuat daripada buluh dan beratapkan daun nipah itu dihias indah dengan pelbagai bunga dan daun yang dipetik dari hutan.

Disaksikan oleh Tok Batin dan wakil keluarga kedua-dua belah pihak, barang-barang seperti beliung, bubu ikan dan sumpit menjadi simbolik sebagai tanda bermulanya kehidupan sebagai suami isteri.

Majlis itu biasanya disusuli dengan jamuan makan ringan khas buat tetamu yang hadir. Tetapi, tidak ada nasi minyak atau ayam masak merah, sebaliknya sekadar ubi kayu dan ulam-ulaman yang direbus.

Perhiasan

Untuk menunjukkan mereka adalah pasangan mempelai yang diraikan, kedua-dua pasangan tersebut akan dihias oleh seorang jurusolek. Dari segi pakaian, pengantin perempuan hanya memakai kain batik yang diikat pada paras dada, sementara pengantin lelaki pula hanya menyarung seluar pendek tanpa baju.

Perhiasan yang digunakan hanyalah rantai yang diperbuat daripada ubi kayu dan diwarnakan dengan pewarna merah.

Pengantin juga akan dihias dengan 'mahkota' yang dipakai di kepala. Mahkota yang diperbuat daripada daun nipah serta beberapa kuntum bunga menambahkan seri pada wajah pengantin. Selain mahkota di kepala, kedua-dua mempelai juga akan memakai daun di pinggang dan selimpang pada badan.


KETUA Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Ibrahim Ismail sempat berkenalan dengan pengantin kaum Semai.



DALAM upacara ini, bakal suami dan isteri hanya perlu menjawab 'ya' untuk disahkan sebagai suami isteri.


Sebagai raja sehari, wajah pengantin turut disolek. Menurut jurusolek pengantin, Minah, 27, tidak ada bahan kimia digunakan untuk menyolek wajah pengantin. Apa yang digunakan hanyalah pewarna merah yang terhasil daripada sejenis tumbuhan dari hutan dan tepung beras.

"Tepung beras digunakan untuk menghasilkan garisan putus-putus pada wajah pengantin. Saya gunakan sikat untuk hasilkan garisan putus-putus warna putih pada muka mereka. Tidak ada bedak dalam bekas.




"Kaum Semai dianggap cukup cantik apabila disolek menggunakan pewarna merah yang dicalit pada wajah pengantin lelaki dan perempuan," kata Minah yang merupakan satu-satunya jurusolek pengantin di kampung itu. Minah memberitahu, lazimnya dia akan menyiapkan bakal pengantin sebelum waktu malam.

Pantang larang selepas kahwin

Mengikut adat kaum Semai, pasangan baru berkahwin perlu mematuhi beberapa pantang larang. Selepas berkahwin, pengantin dilarang keluar rumah selama seminggu. Ia dipercayai untuk menghindar daripada gangguan makhluk halus kerana masing-masing berdarah manis.

Memandangkan pasangan yang baru berkahwin masih muda dan belum mampu memiliki rumah sendiri, mereka dikehendaki berlaku adil untuk tempat tinggal selepas berkahwin.


TOK Batin menguji bakal pengantin dengan soalan-soalan mengenai kehidupan.


"Ini mesti dipatuhi. Selepas berkahwin, pasangan perlu bergilir-gilir menetap di rumah mertua. Kiraannya pula, setahun akan tinggal di rumah pengantin perempuan dan setahun kemudian tinggal di rumah pengantin lelaki.

"Selepas semua stabil mereka boleh membina rumah dan melayari kehidupan berumahtangga secara sendiri," cerita Bah Tamin.

Kaum Semai tidak mempunyai agama, kehidupan mereka seperti ekonomi, sosial dan kepercayaan banyak dipengaruhi daripada kepercayaan nenek moyang.


ANTARA peralatan yang dibawa sebagai simbolik perkahwinan.


Justeru, kaum Semai tidak pernah mengehadkan lelaki untuk mempunyai lebih daripada seorang isteri.

"Datuk saya sendiri mempunyai tujuh orang isteri. Apa yang penting kemampuan untuk menggalas tanggungjawab sahaja," ujarnya.

Begitu juga dengan hal perceraian. Perceraian bagi kaum Semai adalah sesuatu yang tidak baik. Selain menjadi jurunikah, Tok Batin juga berperanan sebagai hakim untuk menyelesaikan masalah rumahtangga pasangan yang bermasalah.

"Pertama sekali kita nasihat, kedua pun kita nasihat, ketiga tidak ada lagi nasihat dan keempat jatuh talak kepada pasangan itu.

"Tidak habis di situ, jika jatuh talak, kita akan cari penawar untuk memulihkan semangat pasangan yang baru bercerai," jelasnya.


WAJAH Azimah Bah Habis disolek dengan warna merah mengikut tradisi kaum Semai.


Pengalaman kahwin muda

Kuten, 24, adalah antara golongan wanita yang berkahwin muda di kampung itu. Pada usia itu dia kini mempunyai tiga orang cahaya mata bersama suami Bah Ong berumur 29 tahun.

"Saya nikah pada usia 19 tahun. Saya tidak sekolah, sebab itu saya pilih untuk berkahwin. Kini saya hanya membesarkan tiga orang anak," katanya ketika ditemui. Rutin harian Kuten hanya membesarkan tiga orang anaknya dan menuai tanaman seperti pucuk paku, pucuk ibu dan sebagainya di sekitar rumah untuk dimasak.

"Tidak ada apa yang hendak dibimbangkan apabila suami bekerja di hutan kerana itulah kehidupan kami. Malah, tanggungjawab memburu di hutan itu sendiri ialah tugas seorang suami," katanya.

Khamis, 17 Disember 2009

Ada tujuan politik: ADUN

PASIR PUTEH - Ahli Dewan Undangan Negeri Selising, Saipul Bahrin Mohamed menganggap isu jambatan rosak yang menghubungkan Kampung Bukit Abal dan Permatang Rambai di sini sengaja ditimbulkan pihak tertentu untuk kepentingan politik.

Menurutnya, media elektronik yang menyiarkan berita mengenai jambatan tersebut sepatutnya merujuk kepada beliau atau Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Saya sudah kerap kali membuat pemantauan termasuk melawatnya dengan pihak JPS, peruntukan membaik pulih jambatan itu sudahpun diluluskan, Kerajaan Negeri juga bersetuju dan ia hanya menunggu masa untuk dimulakan.

“Orang ramai perlu bersabar kerana pihak terlibat akan melaksanakannya selepas musim tengkujuh, kita mesti menerima hakikat bahawa pembinaan tergesa-gesa akan menyebabkan jambatan berkenaan berhadapan risiko kerosakan kerana musim tengkujuh belum berakhir,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Saipul Bahrin kesal dengan sikap sebilangan masyarakat yang mempersoalkan peranan wakil rakyat sedangkan beliau sudah lama berusaha membaik pulihnya.

Untuk sementara waktu, katanya, masyarakat di dua kampung terbabit boleh menggunakan jalan alternatif tidak jauh dari situ.

Katanya, penyiaran berita tanpa merujuk kepada agensi terlibat seperti menggambarkan agenda pihak tertentu untuk menempelak wakil rakyat ketika urusan membaik pulihnya sudah selesai.

“Saya hairan bagaimana orang ramai mendakwa wakil rakyat tidak mempedulikan masalah rakyat sedangkan urusan mengenainya sudah selesai dan hanya menunggu masa sesuai untuk dilaksanakan,” katanya.

Selasa, 1 Disember 2009

MUKA DEPAN UTUSAN MALAYSIA 02.12.2009

RENCANA KOSMO 02.12.2009

Berakhirnya era PKM

Selepas ‘berjuang’ selama kira-kira 20 tahun, PKM melalui Jawatakuasa Pusatnya akur untuk berdamai dan meletak senjata pada 2 Disember 1989 hasil Rundingan Hatyai.




ISU kepulangan Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua ke tanah air timbul semula baru-baru ini. Kali ini dengan nada berbeza apabila beliau membuat kenyataan terbuka memohon maaf atas kesilapan masa lampau.

Malah dalam temu bual yang diterbitkan dalam sebuah akhbar berbahasa Inggeris tempatan baru-baru ini, Chin Peng dipetik berkata apa yang berlaku semasa darurat adalah korban perang. Bagi segelintir generasi muda, darurat ada kaitan dengan sejarah generasi Malaysia era 1940-an yang berjuang membebaskan negara ini daripada penjajah kolonial.

Gagalnya Rundingan Baling 1955 dan tekanan daripada kejayaan operasi bersenjata pasukan keselamatan Persekutuan Tanah Melayu yang dibantu tentera British dan negara-negara Komanwel memaksa PKM berundur ke selatan Thailand.

Di sinilah, bermulanya satu persoalan besar kepada Chin Peng. Jika benar pemberontakan pertama kerana ingin memerdekakan Tanah Melayu, soalnya mengapa perlu ada pemberontakan kedua ketika negara telah merdeka dan diperintah oleh pemimpin pilihan rakyat?

Apa yang ketara (baik dalam media cetak atau elektronik), apabila bercerita tentang ancaman PKM, jarang sekali insurgensi dikisahkan secara terperinci. Walhal, insurgensi merupakan satu-satunya penentangan bersenjata yang berjaya memerangi komunis dalam mana-mana konflik di dunia, termasuk Perang Vietnam.

Mudah sahaja untuk memahami strategi perang Chin Peng yang mengimpikan penubuhan Republik Komunis Malaya sehingga menimbulkan ketegangan. Beliau yang mengakui menyanjung pengasas Bapa China Moden, Mao Tze Dung dilihat ingin menggunakan idea yang sama iaitu kejayaan taktikal Long March Mao semasa berundur dari asakan tentera nasionalis.

Gerakan bersenjata PKM disusun semula pada tahun 1958 dengan anggaran saki-baki kira-kira 600 gerila. Di sini, (selatan Thailand), Jawatankuasa Pusat PKM telah menubuhkan tiga rejimen tentera yang baru sebagai sebahagian daripada strategi penyusunan kekuatannya.

Rejimen ke-8 diwujudkan di kawasan Sadao, Rejimen ke-10 (Weng) dan Rejimen ke-12 (Betong). Dalam jangka masa lapan tahun semasa bersembunyi di selatan Thailand (1960 - 1968), PKM berjaya melakukan proses pemulihan kekuatan sebagai persediaan kembali semula ke Semenanjung Malaysia.




Kebangkitan semula 1968

Berikutan peristiwa 13 Mei 1969, Jawatankuasa Pusat PKM mengeluarkan kenyataan penting menyeru orang ramai bertindak untuk melaksanakan apa yang dipanggil sebagai 'peperangan rakyat' serta menyertai Tentera Pembebasan Kebangsaan Malaya (MNLA). Kenyataan itu merupakan langkah pertama PKM menuju ke fasa bersenjata dan menyusup ke Semenanjung Malaysia.

Kegiatan penyusupan dan atur gerak Unit-unit Penggempur PKM ke Semenanjung Malaysia telah dilakukan mengikut perancangan. Sejak bulan Jun 1969, ia digerakkan mengikut arahan yang dikeluarkan berdasarkan fasa-fasa berikut:

* Fasa I (1969-1973): Dalam tempoh ini, PKM telah menubuhkan Unit Penggempur Ke-5, Ke-8 dan Ke-12 yang diatur gerak di Kedah, Hulu Perak dan Hulu Kelantan di mana kawasan itu dipilih sebagai tapak bagi penyusupan seterusnya.

* Fasa II (1973-1975): Tempoh ini dilancarkan selepas kejayaan Fasa I untuk menubuhkan pangkalan tetap di Gua Musang (melibatkan Unit Penggempur Ke-16) dan Pahang Barat (Unit Penggempur Ke-6).

* Fasa III (1975-1977): Meluaskan kawasan operasi Unit Penggempur Ke-6 sehingga ke timur laut Selangor dan utara Negeri Sembilan. Ini kemudiannya diperluaskan lagi sehingga ke arah timur sempadan Kelantan/Terengganu/Pahang.

Bagaimanapun, insiden berdarah iaitu serang hendap ke atas konvoi platun 11, Kompeni C dari Batalion Pertama Pasukan Polis Hutan (PPH) pada 17 Jun 1968 menjadi titik penting dalam kebangkitan PKM. Dalam serang hendap di Keroh, dekat Hulu Perak itu seramai 17 anggota polis terkorban manakala ramai yang lain cedera parah.


TENTERA Malaysia dan Thailand menemui kem komunis di Waeng, Thailand dalam satu operasi tentera yang dijalankan.


Penyusupan

Pada awal 1970-an, satu penyusupan serentak telah dilakukan ke negeri Kedah dan Perak melalui arahan Jawatankuasa Pusat PKM melibatkan dua kumpulan kader gerila yang baru tamat latihan di Betong, selatan Thailand. Kumpulan ini membina pangkalan di Gunung Inas/kompleks Gunung Bintang dan di Perak sebelum bergerak ke Sungai Siput.

Gerakan ini kemudian diikuti lain-lain kumpulan penyusupan PKM yang bertindak menubuhkan unit penggempur di Kedah (Unit Penggempur Ke-8), Perak (Unit Penggempur Ke-5), Hulu Perak (Unit PKM Orang Asli), Kelantan (Unit Penggempur Bebas) dan Pahang (Unit Penggempur Ke-6).

Pelaksanaan arahan ini disifatkan satu kejayaan besar PKM walaupun langkah-langkah mengekang penyusupan itu telah dilakukan oleh pasukan keselamatan. Kejayaan PKM berdasarkan beberapa faktor, antaranya keupayaan PKM menguasai jalan-jalan penyusupan di empat paksi utama iaitu Paksi Timur (ke Kelantan), Pertengahan Timur (Hulu Perak, Hulu Kelantan), Pertengahan Barat (ke Perak) dan Barat (ke Kedah).


KEKACAUAN yang dicetuskan oleh PKM memusnahkan banyak kampung.


PKM juga berjaya menubuhkan elemen bawah tanah dikenali sebagai Barisan Bersatu Komunis (BBK) yang diistilahkan sebagai penyambung dan pengembang kepada pasukan bersenjata. BBK menyusup pengaruh ke dalam kesatuan sekerja, pertubuhan belia dan pelajar serta pertubuhan siasah untuk mempengaruhi rakyat menerima fahaman komunis.

BBK turut bertanggungjawab menanam kefahaman mengenai perjuangan PKM bagi tujuan mendapatkan rekrut baru.

Berikutnya adalah penyelarasan segala bentuk persiapan dan kegiatan militan. Ini adalah tugas unit-unit kecil yang menyediakan tempat simpanan makanan (food dump), membekalkan maklumat risikan pasukan keselamatan dan menubuhkan pangkalan gerakan, melakukan pengkhianatan serta membunuh pemimpin tertinggi pasukan keselamatan.


PERJANJIAN yang membawa kepada peletakan senjata oleh PKM pada 2 Disember 1989 di Hatyai, Thailand.


Seterusnya adalah kegiatan militan yang dilaksanakan oleh unit-unit penggempur di pedalaman Semenanjung Malaysia

Pada awal tahun 1980-an, corak kegiatan PKM berubah daripada bergerak aktif di dalam aktiviti militan kepada menumpukan kegiatan sosiopolitik dan hubungan massa. Strategi itu dilakukan antaranya melalui penubuhan sel-sel di dalam semua organisasi sosial, politik dan swasta untuk mempengaruhi badan-badan tersebut.

Pertubuhan anasir-anasir pengganas yang sedia ada juga diperluaskan untuk aktif di dalam masyarakat, dan akhir sekali mempertingkat kegiatan bawah tanah dengan mengukuhkan infrastruktur logistik, kewangan, senjata dan sumber tenaga manusia.

Perjalanan konflik

Keanggotaan PKM dalam kebangkitan kali ini terbahagi dua iaitu gerila bersenjata yang bergerak di hutan belantara dan kedua, anggota BBK. Kedua-dua kumpulan ini menerima latihan ketenteraan di selatan Thai setelah direkrut sebelum diserapkan sama ada untuk peranan tempur atau untuk kegiatan subversif bawah tanah di bandar-bandar.

Ketika kedua-duanya bergerak di bandar-bandar dan pekan kecil di seluruh Semenanjung Malaysia, unit-unit penggempur PKM pula bergerak dari utara Semenanjung ke Pahang dan Negeri Sembilan.

Nama-nama kawasan seperti Grik, Lenggong/Air Kala, Sungai Siput, Gopeng, dan Slim River di Perak; Kulim, Karangan dan Gunung Inas di Kedah; Batu Melintang, Lubuk Bongor, Gua Musang dan Pulai di Kelantan; serta Kuala Lipis, Raub, Bentong dan Karak di Pahang cukup digeruni semasa insurgensi.

Bentuk kegiatan militan yang dilakukan PKM tidak banyak berbeza seperti semasa darurat. Antaranya serang hendap ke atas pasukan keselamatan, sabotaj ke atas projek pembangunan (misalnya projek pembinaan Lebuh Raya Timur Barat) dan memusnahkan harta benda.

Selain itu, PKM turut bertindak menyerang pangkalan pasukan keselamatan antaranya serangan bom di Markas Briged Tengah PPH, pengeboman Tugu Negara dan serangan roket ke atas pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Kuala Lumpur pada tahun 1974 yang merosakkan sebuah pesawat pengangkut Caribou.

Walaupun lebih berani, namun gerila-gerila PKM sedaya-upaya mengelak daripada bertempur secara bersemuka dengan pasukan keselamatan. Untuk melarikan diri dengan cepat dan sukar dikesan, mereka menggunakan terowong rahsia yang dibina dari markas di selatan Thai hingga ke beberapa kawasan di utara Semenanjung.

Insurgensi juga menyaksikan penggunaan senjata baru oleh gerila PKM iaitu jerangkap samar letupan dan ranjau buluh runcing. Ia bertujuan melambatkan pergerakan pihak tentera dan melemahkan semangat mereka.

Ramai anggota pasukan keselamatan yang maut dan cedera akibat terpijak jerangkap samar.

PKM juga melalui skuad bergerak telah membunuh Ketua Polis Negara ke-3, Tan Sri Abdul Rahman Hashim pada 7 Jun 1974 dan Ketua Polis Perak, Tan Sri Khoo Chong Kong pada 13 November 1975.

Percubaan mereka untuk membunuh Panglima Angkatan Tentera ketika itu, Jeneral Tan Sri Ibrahim Ismail bagaimanapun gagal. Dalam tempoh itu, keadaan keselamatan negara begitu tegang apabila PKM mengisytiharkan tahun 1975 sebagai 'Tahun Bertempur'.

Ini dipengaruhi semangat PKM yang disuntik oleh kemenangan pihak komunis dalam Perang Vietnam dan jatuhnya kerajaan Vietnam Selatan yang disokong Amerika Syarikat (AS).

Selepas 'berjuang' selama kira-kira 20 tahun, PKM melalui Jawatakuasa Pusatnya akur untuk berdamai dan meletak senjata pada 2 Disember 1989 hasil Rundingan Hatyai.

Kegagalan PKM untuk menarik sokongan majoriti Melayu diakui pengkaji penyebab utama kegagalan perjuangannya.

Biarpun sebilangan besar gerila PKM dan penyokongnya berketurunan Cina, bagaimanapun ia tidak dapat dilihat sebagai sebuah pertubuhan yang mewakili suara ramai. Realitinya, selepas 20 tahun berdamai, 'luka' konflik bersenjata ini masih merah berdarah.

Rabu, 18 November 2009

Sathia yakin kekuatan baru anak buah

KOTA BHARU - Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan yakin pertukaran anak buahnya dalam skuad Kelantan memberikan kekuatan baru dan pasukan Red Warriors bakal memberikan cabaran lebih hebat pada musim hadapan.

Dengan kedatangan pemain baru seperti Syed Adney, Azizi Mat Rose, S Subramaniam, Shakir Shaari, Nor Sharul Idlan Talaha dan Akmal Rizal Rakhli dalam pasukan ini sekali gus menguatkan barisan serangan dan pertahanan Kelantan.

“Kedatangan pemain baru sejajar dengan perancangan yang telah diadakan. Seperti :yang pernah dikatakan dahulu, pasukan Kelantan mensasarkan untuk menjuarai tiga piala musim hadapan.:

“Saya yakin dengan kebolehan anak buah saya kerana pasukan ini semakin kuat ditambah dengan persiapan rapi, kemungkinan besar Kelantan akan mencapai matlamat yang telah disasarkan,” katanya.

Sathia berkata, pemilihan Ketua Pasukan Kelantan pada musim hadapan akan ditentukan oleh pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) untuk menentukan siapa yang bakal mengetuai skuad Kijang.

“Saya serahkan keputusan muktamad kepada pengurusan Kafa menentukan siapa yang bakal mengetuai Red Warriors musim 2010.

“Selain itu, saya menyambut baik kepulangan Badhri Radzi. Beliau merupakan seorang yang istimewa dan pemain idaman kepada kese:mua kelab. Banyak kelab lain nak ambil dia dan saya bersyukur Badhri nak kekal beraksi untuk Kelantan,” katanya.:

Beliau turut gembira penjaga gol Kelantan, Halim Napi kini telah dilantik sebagai jurulatih. Selain beliau dapat memberikan tunjuk ajar kepada penjaga gol baru Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Shahrizan Ismail dan Syed Adney beliau juga dapat mengekalkan khidmat selaku pemain.

Menurutnya, pemain Kel:antan akan memulakan latihan kecergasan pada 22 November akan datang selain mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan dengan pasukan bola sepak Thailand dan pasukan tempatan.:

“Dalam perancangan seperti yang telah diaturkan, kami bakal bersaing dalam perlawanan persahabatan dengan empat pasukan daripada Thailand dan lima pasukan daripada Liga Super.

“Pada perlawanan itu saya akan memastikan kesemua pemain mencapai tahap kecergasan yang maksimum kerana sesebuah pasukan susah untuk mencapai kemenangan jika hanya bergantung kepada beberapa pemain sahaja.

ANALISIS MANEK URAI



MUQADIMMAH: Kemenangan tipis PAS dalam Pilihan Raya Kecil Manek Urai 14 Julai lalu dengan majoriti 65 undi menimbulkan pelbagai spekulasi punca kemerosotan undi. NYZA AYOB mendapatkan penjelasan dari Penasihat Jentera Operasi Pilihan Raya Kecil Manek Urai, Dato' Wan Rahim Wan Abdullah mengenai faktor-faktor kemerosoatan undi terhadap PAS dalam pilihan raya kecil itu.

PAS mencapai kemenangan tipis dalam Pilihan Raya Kecil Manek Urai. Apakah punca kemerosotan mendadak undi PAS?

DATO' WAN ABDUL RAHIM: Pertamanya, pilihan raya kecil seperti yang pernah berlaku, kita pernah menghadapi serangan daripada Barisan Nasional(BN) secara bertubi-tubi. Dalam pilihan raya kecil kadang-kadang BN boleh menang dalam sesuatu kawasan dan dalam Pilihan Raya Umum PAS boleh memenangi kembali kawasan tersebut.
Sebagai contoh pada 2005, kita kalah 134 undi kepada BN dalam Pilihan Raya Kecil Pengkalan Pasir. Tetapi dalam Pilihan Raya Umum 2008, PAS menang kembali walaupun yang bertanding, sama ada PAS atau BN, adalah calon yang sama. Jadi serangan jentera BN secara tertumpu dan secara insentif yang mana amat sukar kita hadapi.

Dalam sejarah pilihan raya kecil di Kelantan sebelum ini juga berlaku kemerosotan undi PAS. Boleh Dato' ceritakan secara lebih lanjut?

PAS mempunyai pengalaman melalui beberapa pilihan raya kecil di Kelantan. Antaranya Pilihan Raya Kecil Tendong 1978, Pilihan Raya Kecil Kemumin, Pilihan Raya Kecil Selising 1983 dan Pilihan Raya Kecil Lundang 1994, Pilihan Raya Kecil Pulau Condong, Pilihan Raya Kecil Semerak 1997 serta Pilihan Raya Kecil Limbongan dan Sungai Pinang pada 1993.
Kita pernah menang tipis di Pulau Chondong dengan 118 undi. Kita juga pernah kalah tipis di Bukit Tuku dengan 118 undi. Begitu juga kita pernah mengalami kekalahan tipis di Pengkalan Pasir dengan 138 undi. Jadi, Pilihan raya kecil di Kelantan tidak menggambarkan situasi sebenar rakyat Kelantan. PAS lebih terkesan lebih teruk dari Pilihan Raya Umum. Sifat 'kecairan' orang Kelantan ini lebih daripada Pilihan Raya Umum.

Apakah PAS akan mengadakan satu post mortem bagi mengetahui punca kemerosotan undi itu?
PAS akan mengadakan post morterm bagi mengetahui punca sebenar kemenangan tipis yang kita perolehi itu. Semua faktor tersebut kita akan ketahui melalui siasatan atau penyelidikan yang lebih terperinci yang akan kita lakukan.

Trend kempen BN masih menggunakan jentera kerajaan. Apakah tindakan PAS Kelantan dalam menghadapi isu ini?

Dalam pilihan raya kecil ini, BN bukan hanya bertanding dengan PAS atau dengan Pakatan Rakyat kerana ia membawa segala jentera dan agensi kerajaan termasuk peralatan serta kewangan kerajaan. Ia seolah-olah dalam Pilihan Raya Kecil Manek Urai ini PAS berlawan dengan jentera kerajaan.

Apakah kemerosotan undi yang dihadapi itu juga disebabkan politik wang yang menjadi kempen utama BN?

Ya, BN masih lagi 'membudayakan' budaya membeli undi serta memberi wang kepada pengundi-pengundi. Hinggakan ada yang mendapat RM1000. Itu merupakan cara sogokan dan rasuah. Ini merupakan budaya pilihan raya yang PAS dan Pakatan Rakyat tidak amalkan.
Bagi mereka yang menerima sogokan ini, mereka diminta bersumpah untuk mengundi BN. Disamping sogokan dan rasuah untuk membangunkan Manek Urai, budaya ugut juga turut dilihat dalam pilihan raya kecil ini. Mereka memberi sogokan dengan janji-janji seperti menyediakan jambatan antara Manek Urai Baru dan Manek Urai Lama serta ingin menjadikan Manek Urai sebagai kawasan agropolitan.

Adakah dengan ugutan serta sogokan itu menyebabkan pengundi jadi tertekan?

Keadaan tersebut akan membuat pengundi tertekan. Apa yang digunakan BN ialah TPU iaitu Tipu, Pitih, Ugutan. Tiga senjata ini yang membuatkan kita sukar untuk membalasnya kerana PAS tidak percaya dengan taktik sedemikian yang mana di luar budaya kerja pilihan raya kita.

Manek Urai merupakan kawasan luar bandar. Apakah media juga merupakan salah satu punca yang menyebabkan pengundi terpengaruh dengan agenda BN?

Dalam pilihan raya kecil ini, pengundi-pengundi dikepung dengan media seperti radio dan televisyen. Sebagai contoh Radio Kelantan FM juga telah memindahkan studionya ke Kuala Krai. Bukan hanya buat siaran lansung tetapi telah dibuka cawangan studio di Kuala Krai.
Walaupun masyarakat Manek Urai tidak membaca surat khabar, tetapi radio dan televisyen boleh mempengaruhi mereka. Laporan RTM dan TV3 juga berat sebelah. SPR juga seolah-olah memekakkan telinga dengan penyelewengan media yang dilihat tidak telus dalam pilihan raya ini.

Benarkah dakwaan undi orang muda dalam pilihan raya kecil ini telah beralih kepada BN?

Saya ingin menafikan satu fahaman umum sekarang bahawa Pilihan Raya Kecil Manek Urai ini telah mengubah sikap pengundi-pengundi muda. Dalam Dun Manek Urai mempunyai sembilan peti undi.
Di peti undi Sungai Periang PAS menang di saluran warga emas iaitu saluran satu dengan 49 undi dan PAS kalah di saluran dua dengan 78 undi. Di saluran tiga pula kita menang dengan 37 undi. Tetapi di saluran empat iaitu saluran orang muda, kita menang 76 undi.
Ini bermakna antara ke empat-empat saluran ini, kita kalah di saluran dua tetapi menang di saluran empat. Di Sungai Periang menunjukkan ramai golongan muda menyokong PAS. Begitu juga di peti undi Manek Urai Lama, PAS kalah di saluran satu, dua dan tiga yang mana kita kalah di saluran dua 96 undi, kalah di saluran tiga 40 undi tetapi kita hanya kalah di saluran empat 30 undi.
Ini bermakna, walaupun PAS kalah di peti undi tersebut, kekalahan di saluran dua dan tiga lebih teruk lagi daripada saluran empat. Dan yang lebih mengejutkan di Manek Urai Baru yang mana PAS kalah di saluran satu hanya satu undi, saluran dua 48 undi dan di saluran tiga PAS menang 15 undi.
Jadi di peti undi Manek Urai Baru ini menceritakan suasana sebenar yang mana kita menang 15 undi. Ini bermakna PAS menang di saluran anak muda. Begitu juga di peti undi Chucuh Puteri yang mana PAS menang di peti undi tersebut. Tetapi kita hanya menang di saluran satu hanya 19 undi, menang di saluran dua hanya 20 undi tetapi kita menang di saluran tiga dengan 57 undi. Begitu juga di peti undi Laloh yang mana PAS menang di saluran satu dengan 51 undi tetapi kalah di saluran dua dengan 69 undi dan di saluran tiga kita kalah 48 undi. Jadi, perbandingan antara saluran dua dan tiga, walaupun PAS kalah, kekalahan di saluran tiga lebih kecil.

Ini bermakna daripada lima peti undi yang Dato' sebutkan tadi, sokongan pengundi muda masih kepada PAS?

Berdasarkan keputusan peti undi yang disebutkan tadi yang mewakili lebih daripada separuh pengundi membuktikan bahawa tidak betul anggapan orang muda telah berpindah kepada BN. Saya menafikan pandangan umum itu.

Adakah pilihan raya kecil di Kelantan ini menggambarkan trend nasional? Atau hanya unik di Kelantan sahaja?

Kita terpaksa mengakui perubahan-perubahan yang cuba dibawa oleh Perdana Menteri baru ini. Kita tidak nafikan terdapat sokongan kepada Perdana Menteri baru ini. Tetapi sokongan ini tidaklah begitu meyakinkan pihak BN.
Sebab saya pasti, jika BN yakin rakyat sudah mula memberi sokongan kepada mereka, mereka akan segera mengadakan Pilihan Raya Umum ke 13. Mungkin boleh jadi rakyat menunjukkan mahu memberi peluang kepada Dato' Seri Najib tetapi masih belum meyakinkan.
Ini kerana dalam semua siri pilihan raya kecil yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum 2008, BN kalah. Tidak ada satu pun pilihan raya kecil dalam tempoh setahun lebih ini BN menang kecuali Pilihan Raya Kecil Batang Air di Sarawak.
Saya melihat BN masih lagi 'pesimistic' dengan peluang mereka untuk menghadapi rakyat dalam pilihan raya. Dan pastinya meraka perlu sedikit masa lagi sebelum menghadapi pembubaran Dewan Undangan Negeri Perak. Ini bermakna walaupun BN boleh 'spin' suasana yang ada dengan menggunakan media serta kekuatan yang ada, mereka masih belum dapat meyakinkan diri sendiri.

Mungkinkah isu dalaman parti seperti isu Kerajaan Perpaduan sebelum ini turut mempengaruhi pengundi yang menyebabkan penurunan majoriti?

Seperti dinyatakan oleh pimpinan Pakatan Rakyat, isu-isu tersebut tidak boleh tidak serba sedikit menjejaskan prestasi PAS terutama menyentuh mengenai Kerajaan Perpaduan yang dibawa oleh pimpinan PAS. Isu tersebut tidak memberikan keselesaan kepada rakyat akar umbi, lebih-lebih lagi di Kelantan.
Kita mempunyai cukup pengalaman serta peristiwa-peristiwa hitam yang sukar dilupa rakyat yang masih lagi dapat diimbas oleh rakyat tentang kezaliman yang dilakukan BN. Selain itu pertelingkahan di antara parti-parti Pakatan Rakyat di Kedah dan Pulau Pinang serta isu-isu yang timbul di Selangor memang sedikit sebanyak mempengaruhi sikap pengundi di Manek Urai.

Berbalik pada kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa pemimpin PAS tidak berhak meminta Kerajaan Pusat meneruskan projek pembangunan jika BN kalah. Apakah kenyataan ini bertentangan dengan konsep federalisma?

Sebagai pemimpin kanan kerajaan, beliau tidak boleh mengamalkan diskriminasi. Peristiwa yang berlaku di Sabah sewaktu pimpinan Dato' Haris Salleh, berlaku diskriminasi terhadap kawasan Tambunan iaitu kawasan orang Kadazan yang mana beliau menutup Pejabat Tanah dan Jajahan juga pejabat daerah. Beliau juga memindahkan pegawai kerajaan.
Akhirnya, tindakannya itu 'dijawab' oleh rakyat dalam pilihan raya yang mana beliau ditewaskan dalam Pilihan Raya Sabah. Jadi, polisi mendiskriminasi rakyat ini akan 'menikam balik' kepada Muhyiddin. Dia tidak boleh bermegah dan mendabik dada denga kuasa yang ada.
Masalah di Kelantan, apabila BN kalah di Kelantan pada 1990, itulah amalan dan polisi yang dibuat oleh Tun Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri pada waktu itu dan Tan Sri Anuar Musa sewaktu beliau menjadi menteri serta Timbalan Pengerusi Umno Kelantan.
Dan dengan itu juga ditubuhkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) di Kelantan. Dan dari situ kita lihat banyak diskriminasi yang dilakukan terhadap Kelantan. Jika sekiranya Muhyiddin cuba menghidupkan semula amalan yang agak berkurangan ini, terlalu amat malang bagi rakyat Kelantan. Dan ini memang cukup bahaya.
Justeru saya mohon kepada Perdana Menteri agar mengawal Timbalannya supaya tidak mencetuskan budaya lama yang memporak peranda masyarakat. Jadi, dia mesti ada 'sporting spirit' dan mesti berjiwa besar yang mana apabila partinya kalah, dia ingin mengangkat 'tukul lekar' dan tinggalkan pada pihak yang menang. Dia tidak boleh bertindak sedemikian sebagai Kerajaan Persekutuan.




YB SELISING



Petang Khamis 24 April 2008 kereta buatan Malaysia Wohgomok buat hal lagi. Kali giliran alternator pula yang membuat Wohgomok garu kepala. Menyedari kerusakan tersebut wohgomok terus ke bengkel baiki kereta yang diusahakan oleh saudara Wohgomok berhampiran Sek. Keb. Sultan Ismail 1, Kota Bharu. Setibanya Wohgomok hampir jam 5.00 petang sudah pun ada seorang yang juga membawa keretanya, jenis Produa Kancil berwarna putih untuk dibaiki. Sudah menjadi kebiasaan Wohgomok tidak suka mengganggu mekanik membuat kerjanya. Wohgomok terus mengajak pemilik workshop bersama seorang kawan Wohgomok dan orang yang sedang menunggu keretanya siap minum di kedai kopi berdekatan.

Sambil berjalan kekedai kopi saudara Wohgomok yang memiliki workshop itu terus bertanya pada Wohgomok, “Mu kenal tak orang ni?”, Wohgomok jawab, “Tak”. “Ini lah wakil rakyat Selising, Tapi tak kaya”. Saudara Wohgomok ini pun satu hal juga. Biasalah tu keabanyakan wakil rakyat Pas tidak kaya, kecuali yang sudah kaya sebelum terlibat dalam Pas. Walaupun Wohgomok seorang penyokong kuat Pas, tetapi tidak semua wakil rakyat Pas yang Wohgomok kenal.

Sepanjang kami minum sambil berbual bersama di kedai kopi, Wohgomok tidak terasa sedang berbual dengan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri. Wohgomok rasa macam berbual dengan seorang kawan yang sudah lama di kenali. Beliau adalah seorang yang cepat mesra dengan sesiapa sahaja dan dari apa yang Wohgomok perhatikan beliau juga tidak suka membangga diri serta merendahkan pendapat orang lain.

Dalam perbualan kami YB Selising banyak bercerita tentang keadaan politik semasa, pengalaman lawatan beliau ke negeri-negeri yang di perintah oleh Pakatan Rakyat dan yang amat menarik perhatian Wohgomok ialah tentang seorang Ahli Parlimen DAP yang banyak membuat kajian tentang Islam dan dasar-dasar pemerintahan Islam. Sila kembali ke blog Wohgomok untuk mengetahui siapa YB DAP itu.

Mengenai kisah perjumpaan rombongan beliau dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, beliau ada menceritakan YAB Lim Guan Eng amat mengagumi corak pemerintan Pas di Kelantan dan akan banyak mengambil contoh pemerintan kerajaan Pas Kelantan dalam pemerintahannya di negeri itu. Katanya, Sdr. Lim Guan Eng juga mengakui ada segelintir pemimpin DAP yang tidak faham dengan dasar pemerintahan Islam yang mebyebabkan mereka celupar didalam mengeluarkan kenyataan.

Beliau juga ada menceritakan tentang Menteri Besar Kedah, YAB Ustaz Haji Azizan bin Abdul Razak yang tidak meninggi diri, peramah, kelakar dan rapat dengan DYMM Sultan Kedah, Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah.

Oleh kerana masa sudah hampir jam 6.00 petang maka perbualan kami terpaksa ditamatkan walaupun banyak lagi yang hendak diceritakan beliau, lagi pun kereta Wohgomok dan kereta YB telah pun siap di baiki. Sebelum beredar YB ada mempelawa Wohgomok menalipon beliau sekiranya ke Selising. Wohgomok terus pulang dan setiba di rumah Wohgomok terus melayari Laman Khas Pilihanraya Umum Ke-12 untuk mencari biodata beliau. Beliau ialah YB Drs. Saiful Bahrin Mohamad, berumur 46 tahun dan berkelulusan University Sunankalijaga, Jogjakarta, Indonesia yang juga ADUN Pas Kawasan Selising, Pasir Puteh, Kelantan.

Selasa, 17 November 2009

BN Machang dalam kedudukan terbaik


Dari kiri, calon BN DUN Kemuning, Ahmad Jazlan Yaakob; calon DUN Pulai Condong, Dr. Mohd. Asri Mejah; calon Parlimen Machang, Datuk Sazmi Miah dan calon DUN Temangan, Datin Rahimah Mohamad selepas pengumuman penamaan calon Parlimen dan DUN Machang di Pejabat Tanah Jajahan Machang, 24 Februari lalu.

JIKA disebut mengenai Machang pasti ramai yang teringat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemuning yang dikatakan menjadi pemisah untuk membolehkan Barisan Nasional (BN) kembali menerajui Kelantan, apabila ia tewas hanya dengan perbezaan dua undi.

Bukan itu sahaja, gambaran keputusan Machang juga agak unik kerana Barisan Nasional (BN) berjaya memenangi kerusi Parlimen melalui Datuk Sazmi Miah, tetapi tewas di ketiga-tiga kerusi DUN pada Pilihan Raya Umum 2004 dengan majoriti yang kecil.

Semua ini berlaku bukan disebabkan faktor kekuatan Pas, tetapi masalah dalaman yang menekan sehingga menjejaskan perjalanan jentera parti dan keputusannya menutup impian BN untuk berkuasa walaupun rakyat sebenarnya sedia berubah.

Masalah ini diperingatkan semula oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menghadiri satu majlis di Sekolah Menengah Sains Machang baru-baru ini.

Beliau berkata, kawasan Parlimen Machang sepatutnya boleh menyumbang kepada penguasaan BN di Kelantan pada Pilihan Raya Umum 2004, tetapi tewas dengan undi majoriti yang sangat tipis disebabkan gejala 'cah keting'.

Namun senario tersebut berubah sama sekali pada pilihan raya kali ini apabila BN Machang dibarisi senarai calon yang mendapat restu semua pihak termasuk memenuhi permintaan akar umbi.

Keputusan tepat dalam hal pemilihan calon itu dengan jentera parti pada kedudukan terbaik dan penerimaan masyarakat yang lebih terarah kepada calon BN berbanding Pas atau Parti Keadilan Rakyat (PKR), ia boleh menjadi petunjuk kepada penguasaan di Machang dan Kelantan.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Machang, Jazlan Yaakob berkata, UMNO dan BN Machang berada pada kedudukan terbaik menghadapi pilihan raya umum 8 Mac ini melihat kepada moral ahli dan reaksi rakyat.

BN akan diwakili Sazmi yang akan mempertahankan kerusi Parlimen manakala Dr. Mohd. Asri Mejah bagi DUN Pulai Chondong, Datin Rahimah Mohamad (Temangan) dan Ahmad Jazlan (Kemuning).

Sazmi akan ditentang oleh calon PKR, Saifuddin Nasution Ismail, manakala Mohd. Asri berhadapan dengan Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Zulkifli Mamat (Pas), Rahimah dicabar oleh Dr. Mohd. Fadzli Datuk Hassan (Pas) dan Ahmad Jazlan berhadapan Wan Ahmad Lutfi Wan Sulaiman (Pas).

Katanya, selain kesediaan rakyat untuk berubah, kandungan manifesto BN yang menjanjikan pembelaan nasib rakyat secara menyeluruh diyakini akan menguatkan lagi pendirian rakyat untuk berubah.

“Bantuan untuk ibu tunggal yang terpaksa menyara persekolahan anak-anak bersendirian, peluang untuk wanita berniaga dan membantu penjaja melalui skim mikro kredit.

“Juga menghapuskan tunggakan cukai pintu dan cukai tanah, bantuan untuk belia menimba kemahiran merupakan antara berpuluh langkah yang menyentuh rakyat secara langsung di sini,” ujarnya.

Jazlan berkata, jika diukur dari segi pembangunan dalam Parlimen Machang, hampir kesemuanya melibatkan usaha kerajaan termasuk pembinaan kampus cawangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) sejak tahun 1995.

“Kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM300 juta untuk pembangunan kampus tersebut dan penduduk tempatan mendapat limpahan daripadanya termasuk meningkatkan nilai hartanah, mencambahkan peluang perniagaan dan pekerjaan di samping mewujudkan pusat pertumbuhan baru,” ujarnya.

Bukan itu sahaja, jumlah siswazah seramai 5,000 orang yang ada pada masa kini dijangka terus bertambah sehingga 12,000 apabila bangunan baru siap dibina di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

UiTM memberikan impak sosial, ekonomi dan pendidikan yang besar kepada penduduk dan tanpanya Machang akan terus ketinggalan dan bandarnya akan kekal dengan sebutan `Kampung Machang' di kalangan rakyat Kelantan.

Selain itu, penduduk di kawasan itu juga mendapat rahmat yang besar dari segi sistem perhubungan apabila Kerajaan Pusat turut menyiapkan pembinaan jalan pintas untuk ke Kota Bharu dan Kuala Lumpur.


PERSIAPAN KLATE 2010


ANNUAR menunjukkan senarai pemain yang akan beraksi untuk skuad Wira Merah pada musim depan.


PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) mengesahkan, enam pemain baru akan menyarung jersi Kelantan untuk musim 2010.

Antara pemain yang telah mengesahkan untuk bersama Kelantan ialah Nurshahrul Idlan Talaha, Syed Adney Syed Hussein, S. Subramaniam, S. Chanturu, Azizi Mat Rose, Shakir Shaari dan Akmal Rizal Rakhli.

Presiden KAFA, Tan Sri Annuar Musa memberitahu, kehadiran pemain-pemain itu adalah usaha untuk membentuk sebuah pasukan yang lebih mantap selain sasaran untuk terus memburu kejuaraan.

Menurutnya, tempoh dua tahun termasuk musim 2009 merupakan pembentukan asas pasukan dan tahun 2010 adalah untuk mereka meneruskan aksi dengan persembahan yang lebih baik.

"Kita mahukan satu pasukan dengan corak permainan bola sepak moden yang pantas serta mempunyai tahap stamina yang tinggi.

"Kehadiran Nurshahrul dan Chanturu yang masih muda adalah taruhan terbaik untuk mengepalai jentera serangan Kelantan selain pengalaman yang dimiliki Akmal," katanya ketika ditemui pada sidang media di Wisma KAFA di Kota Bharu semalam.

Tambahnya, Subramaniam yang merupakan bekas kapten Perak dan pernah beraksi untuk pasukan negara bersama-sama bekas pertahanan Perlis, Azizi disenaraikan bagi mengatasi kelemahan bahagian pertahanan.

Katanya, perancang Kelantan, Badri Radzi akan mempunyai pasangan baru selepas Kelantan berjaya mengikat Shakir Shaari yang sebelum ini menimba pengalaman dengan UPB-MyTeam.

Jelasnya, Kelantan hanya akan mendaftar 26 pemain bagi mengharungi musim 2010 dan terpaksa menggugurkan beberapa pemain sedia ada.

"Faktor usia juga menyebabkan kita terpaksa menggugurkan penjaga gol berpengalaman, Halim Napi dan digantikan dengan Syed Adney.

"Bagaimanapun, kita telah bersetuju untuk menawarkan kontrak kepada Halim selaku jurulatih supaya ilmu dan pengalaman yang ada padanya diturunkan kepada pemain muda," ujarnya.

Annuar juga mengumumkan, B. Sathiana- than akan terus bersama Kelantan sebagai ketua jurulatih, sementara Hashim Musta- pha, Sidek Samsuddin dan Ismail Bakar akan bertindak sebagai pembantu jurulatih.

Antara pemain lain yang digugurkan musim depan ialah Khalid Jamlus, Nafuzi Zain, Ahmad Ezrie Shafizie, Faizol Che Noh, Hanif Md. Nor, Safuan Ibrahim, Normizal Ismail dan Rosairil Asrol Mat Nor.

DARI SSM KE SBJ


BUKIT JALIL PART 6





BUKIT JALIL PART 5





BUKIT JALIL PART 4





JOM SERBU STADIUM


BUKIT JALIL PART 3