Khamis, 17 Disember 2009

Ada tujuan politik: ADUN

PASIR PUTEH - Ahli Dewan Undangan Negeri Selising, Saipul Bahrin Mohamed menganggap isu jambatan rosak yang menghubungkan Kampung Bukit Abal dan Permatang Rambai di sini sengaja ditimbulkan pihak tertentu untuk kepentingan politik.

Menurutnya, media elektronik yang menyiarkan berita mengenai jambatan tersebut sepatutnya merujuk kepada beliau atau Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Saya sudah kerap kali membuat pemantauan termasuk melawatnya dengan pihak JPS, peruntukan membaik pulih jambatan itu sudahpun diluluskan, Kerajaan Negeri juga bersetuju dan ia hanya menunggu masa untuk dimulakan.

“Orang ramai perlu bersabar kerana pihak terlibat akan melaksanakannya selepas musim tengkujuh, kita mesti menerima hakikat bahawa pembinaan tergesa-gesa akan menyebabkan jambatan berkenaan berhadapan risiko kerosakan kerana musim tengkujuh belum berakhir,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Saipul Bahrin kesal dengan sikap sebilangan masyarakat yang mempersoalkan peranan wakil rakyat sedangkan beliau sudah lama berusaha membaik pulihnya.

Untuk sementara waktu, katanya, masyarakat di dua kampung terbabit boleh menggunakan jalan alternatif tidak jauh dari situ.

Katanya, penyiaran berita tanpa merujuk kepada agensi terlibat seperti menggambarkan agenda pihak tertentu untuk menempelak wakil rakyat ketika urusan membaik pulihnya sudah selesai.

“Saya hairan bagaimana orang ramai mendakwa wakil rakyat tidak mempedulikan masalah rakyat sedangkan urusan mengenainya sudah selesai dan hanya menunggu masa sesuai untuk dilaksanakan,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan