Selasa, 22 September 2009

Kelantan akhirnya pilih Sathianathan

KOTA BHARU – Bekas jurulatih skuad kebangsaan, B. Sathianathan akan mengambil alih jawatan jurulatih skuad bola sepak Kelantan dalam kempen Piala Malaysia yang bermula, Sabtu ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa ketika ditemui di sini, semalam berkata, Sathianathan akan mengisi kerusi panas tersebut berikutan peletakan jawatan secara mengejut Peter James Butler daripada posisi itu 16 September lalu.

Katanya, Sathianathan akan memulakan tugas rasmi itu bermula hari ini dengan misi utama melakukan yang terbaik menghadapi kejohanan piala berprestij bola sepak negara ini.

“Sebaik menerima surat peletakan jawatan beliau (Butler), saya tidak mempunyai pilihan selain mencari jurulatih terbaik untuk membawa pasukan ini menghadapi kempen Piala Malaysia.

“KAFA yakin dengan keupayaan Sathianathan, malah beliau mempunyai pengalaman yang cukup luas dalam bola sepak tanah air dan luar negara,” katanya.

Annuar berkata, pada mulanya KAFA memutuskan untuk melantik penolong jurulatihnya, Hashim Mustapha, memangku jawatan tersebut bagaimanapun selepas membuat semakan mendapati beliau tidak mempunyai lesen yang disyaratkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi menerajui pasukan bertaraf Liga Super.

Jelasnya, keputusan itu dibuat selepas KAFA menerima laporan yang mengesahkan bahawa Butler telah pun menandatangani kontrak untuk membimbing pasukan Yangoon United FC yang berpangkalan di Myanmar.

Mengulas mengenai peletakan jawatan Butler, Annuar meluahkan kekecewaan beliau dan menyifatkan tindakan tersebut adalah tidak profesional.

“Beliau sepatutnya menghormati kontraknya yang akan berakhir hujung November depan bukannya melakukan perkara seperti ini.

“Alasan yang diberikan juga tidak memuaskan hati Kafa terutama sekali selepas kami mendapati beliau telah menandatangani kontrak dengan pasukan di negara lain,” tegasnya.

Sehubungan itu, katanya, KAFA akan menghantar surat laporan secara rasmi berhubung perkara itu kepada FAM untuk dimaklumkan kepada Persatuan Bola Sepak Dunia (FIFA) kerana Butler adalah seorang jurulatih peringkat antarabangsa.

Beliau bagaimanapun tidak memberikan sebarang kenyataan sama ada KAFA akan mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas pemain West Ham United itu.

Dalam pada itu, Annuar turut mendedahkan bahawa pasukan Kelantan kini sedang menguji seorang pemain remaja negara yang beraksi bersama pasukan simpanan kelab gergasi Itali, Juventus FC.

Katanya, pemain berusia 19 tahun itu yang mampu bermain pada posisi pertahanan dan tengah akan diturunkan dalam perlawanan persahabatan malam ini menentang pasukan pilihan dari Afrika untuk menilai kemampuannya.

“Pemain yang berasal dari Perak ini berada di Itali sejak berumur 15 tahun untuk menyambung pelajarannya dan turut beraksi dengan kelab itu.

“Dia berjaya melengkapkan masanya bersama pasukan bawah 19 tahun Juventus FC oleh itu kita akan lihat sejauh mana kemampuannya pada malam ini,” tambahnya.

Jumaat, 18 September 2009

KELATE HILANG COACH

Butler tinggalkan Kelantan




KETIKA kempen Piala Malaysia bakal membuka tirainya kurang lebih seminggu lagi, pasukan Kelantan mene- rima berita kurang menyenangkan.

Selepas terpaksa melupakan khidmat ketua pasukan, Badri Radzi yang mengalami kecederaan serius, perjuangan Kelantan sekali lagi tersentak apabila ketua jurulatihnya, Peter James Butler (gambar) meletakkan jawatan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa berkata, pihaknya menerima surat peletakan jawatan jurulatih dari England itu melalui faksimile kelmarin.

Menurutnya, dalam surat peletakan jawatan itu, Peter memberikan alasan bahawa isterinya sakit.

"Keadaan ini sedikit sebanyak memberi tamparan kepada persiapan kita menjelang Piala Malaysia. Namun, hasil perbincangan antara pihak pengurusan dan pemain, kami sebulat suara menerima peletakan jawatan Peter.

"Perkara ini adalah benda yang sama berlaku pada kita musim lepas apabila jurulatih turut mengundurkan diri ketika kita sedang bersiap untuk ke Piala Malaysia," katanya ketika ditemui semalam.

Berikutan itu, Annuar berkata, penolong jurulatih, Hashim Mustapha dipilih untuk memikul tanggungjawab tersebut buat masa ini dan jurulatih Piala Presiden, Kamaruddin Md. Noor juga dipanggil untuk membantu skuad Kelantan.

"Hashim akan meneruskan sistem latihan serta taktikal permainan seperti yang diterapkan oleh Peter dengan sedikit proses penambahbaikan.

"Saya juga akan memberi perhatian yang lebih serta meluangkan lebih banyak masa dengan pemain," ujarnya.

Isnin, 14 September 2009

BAS SEKOLAH

Geng Bas Sekolah Versi Malaysia




Geng Bas Sekolah Versi India

Khamis, 10 September 2009

PUASA ORANG ASLI

Orang Asli berbuka dengan ubi kayu menu berbuka Kaum Jakun


AHMAD Shukri Ismail (dua dari kanan) sambil disaksikan Wan Shamsuri Wan Abdul Jalil (kanan) menyerahkan bantuan makanan kepada penduduk Orang Asli Jakun di Kampung Sematau, Jerantut kelmarin.


JERANTUT 10 Sept. - Ubi kayu, nasi putih dan air sejuk - itu sahaja menu yang dapat disediakan oleh sebahagian Orang Asli kaum Jakun di Kampung Sematau di Felda Kota Gelanggi, dekat sini sepanjang bulan Ramadan ini.

Ini kerana, sebanyak 15 keluarga kaum Jakun yang beragama Islam di kampung itu hidup serba daif tanpa sebarang kemudahan asas sejak menetap di situ empat tahun lalu.

Berikutan ketiadaan bekalan elektrik dan air bersih, penduduk terbabit terpaksa menggunakan air sungai yang tercemar atau mata air di kaki bukit untuk kegunaan harian.

Tinjauan Utusan Malaysia ke kampung itu hari ini mendapati rumah-rumah mereka hanya dibina daripada ranting dan dahan kayu manakala dindingnya diselaputi plastik kanvas.

Ketua Masyarakat Orang Asli Jakun kampung itu, Sedin a/l Putar, 40, berkata, kehidupan mereka menjadi serba daif selepas berpindah dari tempat asal di Rompin, empat tahun lalu.

''Kami cuba menetap di sini dengan meninggalkan tradisi berpindah-randah tetapi kesempitan hidup terus dirasai berbanding dengan rakan kami di tempat lain.

''Kami berharap kerajaan negeri dapat membantu dan membela nasib kami sekurang-kurangnya menyediakan rumah dan tempat tinggal yang mempunyai peluang pekerjaan," katanya.

Sedin ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan dan berbuka puasa yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail di kampung itu semalam.

Hadir sama, Pegawai Agama Islam Jengka, Bunyamin Abdul Ghani, Penghulu Mukim Pulau Tawar, Wan Shamsuri Wan Abdul Jalil, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Tekam Utara, Mohd. Rashid Abas dan Pengurus Kota Gelanggi 5, Shamsul Azhar Razali.

Menurut Sedin, pekerjaan penduduk kampung itu ialah mencari hasil hutan seperti gaharu dan rotan.

Seorang penduduk, Lasim a/l Ibrahim, 30, berkata, mereka menetap di kampung itu kerana tempat itu sesuai untuk mendapat sumber hutan di samping mudah menghantar anak-anak ke Sekolah Kebangsaan Sungai Tekam Utara yang berdekatan.

''Sudahlah daif, masalah lain yang turut membebankan ialah sesetengah ahli keluarga tidak memiliki sijil kelahiran dan kad pengenalan sehingga menyukarkan untuk membuat pelbagai urusan," katanya.

Justeru, Lasim berharap pihak berkenaan segera membantu Orang Asli di kampung itu supaya kebajikan mereka terbela.

Seorang suri rumah, Biah a/p Ali, 32, berkata, walaupun hidup serba daif, penduduk kampung itu masih berpegang teguh kepada ajaran Islam yang diterima sejak 10 tahun lalu.

Menurutnya, kaum minoriti tersebut tetap menunaikan solat, berpuasa dan memberi pendidikan kepada anak-anak.

"Kami mengharapkan bantuan pihak kerajaan dan dermawan agar lebih ceria pada hari raya nanti seperti masyarakat Melayu di tempat lain," katanya.

Jika bantuan kepada Orang Asli di tempat lain dapat dilakukan, katanya, kerajaan juga seharusnya memberi perhatian kepada kaum tersebut di kampung berkenaan.

Seorang penduduk, Sinah a/p Ali, 36, berkata, persiapan Hari Raya Aidilfitri tahun ini dilakukan ala kadar kerana kesempitan hidup.

''Dapat berbuka dengan menjamah nasi kosong dan ubi kayu pun sudah banyak bersyukur. Hendak berbelanja seperti orang lain tidak mampu," katanya.

Selasa, 8 September 2009

KETAWA SEKEJAP

Temubual seorang pemuda dengan pakcik gembala biri-biri.

Pemuda : Baguslah ternakan biri-biri pakcik. Boleh saya tanya beberapa soalan tak?
Pakcik : Boleh aje...
Pemuda : Berapa jauh biri-biri ni berjalan setiap hari?
Pakcik : Yang mana, yang putih atau yang hitam?"
Pemuda : Yang putih.
Pakcik : Kalau yang putih berjalan lebih kurang enam kilometer setiap hari.
Pemuda : Yang hitam?
Pakcik : Yang hitam pun sama...
Pemuda : Berapa banyak plak rumput biri-biri ni makan setiap hari?
Pakcik : Yang mana, yang putih atau yang hitam?
Pemuda : Yang putih?
Pakcik : Ah, yang putih makan lebih kurang empat kilo rumput setiap hari.
Pemuda : Dan yang hitam?
Pakcik : Yang hitam pun sama...
Pemuda : Berapa banyak bulu yang mereka hasilkan setiap tahun?
Pakcik : Yang mana, yang putih atau yang hitam?
Pemuda : Yang putih?
Pakcik : Aaa....yang putih menghasilkan sekitar enam kilo bulu setiap tahun.
Pemuda : Dan yang hitam?
Pakcik : Yang hitam pun sama...
Pemuda : Kenapa pakcik membezakan biri-biri pakcik yg putih dgn yg hitam, padahal jawapan semuanya sama aje?
Pakcik : Mestilah...sebab biri-biri yang putih itu pakcik yang punye.
Pemuda : Ooo, gitu ke...abis tu yang hitam tu sapa punye?
Pakcik : Yang hitam pun sama.....


hehehe


banyak pulak budak muda ni tanya pakcik ni

Ahad, 6 September 2009

Sabtu, 5 September 2009

KEPUTUSAN PRK DUN BUKIT SELAMBAU

KEPUTUSAN PRK N 25 BUKIT SELAMBAU

. R Loganathan (kelapa sawit) - 31
2. Tan Hock Huat (kunci) - 78
3. Radzi Md Lazim (kerusi) - 25
4. Mohd Fazil Wahab (kepala harimau - 83
5. Abdul Rahim Abu (jam loceng) - 60
6. L Sarala (basikal) - 49
7. A Jayagopal (payung) - 35
8. S Moganakumar (buku) - 46
9. Khamis Awang (ayam jantan) - 29
10. Husaini Yaacob (bas) - 257
11.M Vaneson (ikan) - 32
12. Mej (B) Anuar Abd Hamid (telefon) - 528
13. T Chandrarajan (kapal terbang) - 73
14. S. MANIKUMAR (PKR) - 12,632
15. DATO' GANESAN (BN) - 10,259

S.MANIKUMAR(PKR) MENANG DENGAN MAJORITI 2403.

MELAYU

Melayu itu orang yang bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun

Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.
Melayu di tanah Semenanjung luas maknanya:
Jawa itu Melayu, Bugis itu Melayu Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu, Arab dan Pakistani,
semua Melayu
Mamak dan Malbari serap
ke Melayu Malah mua’alaf bertakrif Melayu.

Dalam sejarahnya Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan
Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal tanah sebidang
mudah terjual
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.

Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Marahnya dengan diam
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.
Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak nampak telinga

Musuh dicari ke lubang cacing
Tak dapat tanduk telinga dijinjing
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan diulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut
Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Selagi yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan:
“Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusu-susukan
Anak di pangkuan mati kebuluran”

Bagaimanakah Melayu abad dua puluh satu
Masihkan tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin kepada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan
Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memiliki ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di negara Merdeka.
( Usman Awang)