Khamis, 10 September 2009

PUASA ORANG ASLI

Orang Asli berbuka dengan ubi kayu menu berbuka Kaum Jakun


AHMAD Shukri Ismail (dua dari kanan) sambil disaksikan Wan Shamsuri Wan Abdul Jalil (kanan) menyerahkan bantuan makanan kepada penduduk Orang Asli Jakun di Kampung Sematau, Jerantut kelmarin.


JERANTUT 10 Sept. - Ubi kayu, nasi putih dan air sejuk - itu sahaja menu yang dapat disediakan oleh sebahagian Orang Asli kaum Jakun di Kampung Sematau di Felda Kota Gelanggi, dekat sini sepanjang bulan Ramadan ini.

Ini kerana, sebanyak 15 keluarga kaum Jakun yang beragama Islam di kampung itu hidup serba daif tanpa sebarang kemudahan asas sejak menetap di situ empat tahun lalu.

Berikutan ketiadaan bekalan elektrik dan air bersih, penduduk terbabit terpaksa menggunakan air sungai yang tercemar atau mata air di kaki bukit untuk kegunaan harian.

Tinjauan Utusan Malaysia ke kampung itu hari ini mendapati rumah-rumah mereka hanya dibina daripada ranting dan dahan kayu manakala dindingnya diselaputi plastik kanvas.

Ketua Masyarakat Orang Asli Jakun kampung itu, Sedin a/l Putar, 40, berkata, kehidupan mereka menjadi serba daif selepas berpindah dari tempat asal di Rompin, empat tahun lalu.

''Kami cuba menetap di sini dengan meninggalkan tradisi berpindah-randah tetapi kesempitan hidup terus dirasai berbanding dengan rakan kami di tempat lain.

''Kami berharap kerajaan negeri dapat membantu dan membela nasib kami sekurang-kurangnya menyediakan rumah dan tempat tinggal yang mempunyai peluang pekerjaan," katanya.

Sedin ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan dan berbuka puasa yang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tawar, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail di kampung itu semalam.

Hadir sama, Pegawai Agama Islam Jengka, Bunyamin Abdul Ghani, Penghulu Mukim Pulau Tawar, Wan Shamsuri Wan Abdul Jalil, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Tekam Utara, Mohd. Rashid Abas dan Pengurus Kota Gelanggi 5, Shamsul Azhar Razali.

Menurut Sedin, pekerjaan penduduk kampung itu ialah mencari hasil hutan seperti gaharu dan rotan.

Seorang penduduk, Lasim a/l Ibrahim, 30, berkata, mereka menetap di kampung itu kerana tempat itu sesuai untuk mendapat sumber hutan di samping mudah menghantar anak-anak ke Sekolah Kebangsaan Sungai Tekam Utara yang berdekatan.

''Sudahlah daif, masalah lain yang turut membebankan ialah sesetengah ahli keluarga tidak memiliki sijil kelahiran dan kad pengenalan sehingga menyukarkan untuk membuat pelbagai urusan," katanya.

Justeru, Lasim berharap pihak berkenaan segera membantu Orang Asli di kampung itu supaya kebajikan mereka terbela.

Seorang suri rumah, Biah a/p Ali, 32, berkata, walaupun hidup serba daif, penduduk kampung itu masih berpegang teguh kepada ajaran Islam yang diterima sejak 10 tahun lalu.

Menurutnya, kaum minoriti tersebut tetap menunaikan solat, berpuasa dan memberi pendidikan kepada anak-anak.

"Kami mengharapkan bantuan pihak kerajaan dan dermawan agar lebih ceria pada hari raya nanti seperti masyarakat Melayu di tempat lain," katanya.

Jika bantuan kepada Orang Asli di tempat lain dapat dilakukan, katanya, kerajaan juga seharusnya memberi perhatian kepada kaum tersebut di kampung berkenaan.

Seorang penduduk, Sinah a/p Ali, 36, berkata, persiapan Hari Raya Aidilfitri tahun ini dilakukan ala kadar kerana kesempitan hidup.

''Dapat berbuka dengan menjamah nasi kosong dan ubi kayu pun sudah banyak bersyukur. Hendak berbelanja seperti orang lain tidak mampu," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan