Khamis, 9 April 2009

BOLA KELATE


"SAYA sangat dukacita dan malu dengan rakyat Kelantan,"
Begitulah keluhan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengenai kejadian rusuhan selepas perlawanan separuh akhir pertama Piala FA antara pasukan Kelantan dengan Negeri Sembilan di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, Kota Bharu, malam kelmarin.

Beliau berkata, tindakan yang dilakukan itu menunjukkan penyokong Kelantan tidak mempunyai semangat kesukanan yang tinggi.

"Insiden itu tidak sepatutnya berlaku di negeri ini yang diberi gelaran yang cukup baik termasuk 'bumi tadahan wahyu' yang seolah tidak seiring dengan perangai rakyatnya," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Kota Darulnaim, Kota Bharu semalam.

Dalam kejadian itu, penyokong Kelantan membakar sebuah trak polis dan merosakkan beberapa buah kenderaan lain di pekarangan stadium tersebut.

Malah, seramai dua anggota polis dan seorang peniaga mengalami kecederaan dan mendapat rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu.

Pada perlawanan tersebut pasukan Kelantan tewas kepada Negeri Sembilan 0-1.

Selain itu, Nik Abdul Aziz juga kesal terhadap penyokong Kelantan yang bertindak kasar terhadap polis yang ditugaskan menjaga keamanan dalam perlawanan itu.

"Penyokong Kelantan tidak sepatutnya melakukan sebegitu rupa kepada anggota polis yang bertugas mengawal keselamatan," ujarnya.

Bagaimanapun beliau mengharapkan insiden tersebut tidak berulang lagi dalam perlawanan di stadium itu selepas ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan